BOLA SEPAK

Euro Wanita: Perancis, Belgium lengkapkan kuota suku akhir

Shaiful Shamsudin 19/07/2022 | 01:38 MYT
Rentak kemenangan Perancis berakhir selepas terikat 1-1 dengan Iceland sementara Belgium menewaskan Itali 1-0 untuk melengkapkan barisan suku akhir Euro 2022.
Skuad Perancis kendalian Corinne Diacre itu layak ke pusingan lapan terakhir sebagai juara Kumpulan D biarpun terlepas peluang untuk merakam tiga kemenangan daripada tiga perlawanan di Rotherham, awal pagi tadi.
Walaupun kehilangan Marie-Antoinette Katoto akibat kecederaan lutut, Perancis pantas mendahului pada minit pembukaan menerusi Melvine Malard sementara jaringan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Grace Geyoro, pula dibatalkan.
Iceland masih memiliki sisa harapan untuk melolosi peringkat seterusnya tetapi sepakan penalti, Dagny Brynjarsdottir, pada minit ke-102 -- selepas pertimbangan video bantuan pengadil (VAR) -- terbukti sudah terlalu lewat untuk mereka bangkit.
Belgium pula memastikan kemaraan di Manchester hasil penyudah Tine De Caigny sejurus selepas rehat, untuk membawa mereka ke suku akhir kejohanan utama buat julung kalinya.
Mereka akan membuat perjalanan singkat ke Leigh, di mana mereka akan berdepan Sweden Sabtu ini dan di Rotherham pula, Perancis sekali lagi berentap dengan Belanda, keesokan harinya.
#Euro Wanita
;