EURO 2024: Jerman pesta gol, Stadium Allianz bergema

Najmi Iman
Jun 14, 2024 04:57 MYT
JERMAN 5 SCOTLAND 1
Pasukan tuan rumah, Jerman, memulakan kempen Euro 2024 dengan langkah kanan apabila menewaskan Scotland dengan pesta jaringan di Stadium Allianz, sebentar tadi.
Skuad kendalian Julian Nagelsmann tidak menunggu lama untuk menjelmakan gol pembukaan selepas lorongan daripada pemain Bayern Munich, Joshua Kimmich, disempurnakan oleh pemain muda, Florian Wirtz, pada minit ke-12 di hadapan ribuan peminat tempatan.
Pemain yang sedang meningkat naik, Jamal Musiala, menggandakan kelebihan buat pasukannya dengan rembatan deras kearah gawang Scotland yang bermula daripada pemain Arsenal, Kai Havertz, bijak memperdayakan pemain pertahanan Scotland.
Selepas semakan video bantuan pengadil (VAR), Jerman dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh pemain penyerang kebangsaan, Kai Havertz, sekali gus membawa momentum terbaik menuju babak kedua perlawanan.
Pemain gantian, Niclas Fullkrug, menambah derita pasukan pelawat dengan sepakan kencangnya menembusi jaring penjaga gol Scotland, Angus Gunn, yang tampak buntu melihat barisan pertahanannya kerap kali melakukan kesilapan.
Bekas pemain Liverpool, Emre Can, melengkapkan malam gemilang Jerman dengan satu lagi gol sekali gus melenyapkan harapan Scotland untuk mencuri mata daripada perlawanan pertama itu.
Penjaga gawang Bayern Munich, Manuel Neuer, terpaksa berpuas hati selepas gagal mengutip kemenangan bersih susulan tandukan sendiri pertahanan Real Madrid, Antonio Rudiger, yang memberikan gol sagu hati buat Scotland.
#bola sepak #Jerman #Euro 2024 #Niclas Fullkrug
;