Erik ten Hag yakin Manchester United masih mampu 'menyengat'

Muzaffar Musa
Disember 24, 2023 12:36 MYT
Erik ten Hag menegaskan bahawa Manchester United memiliki sasaran tersendiri walaupun sekali lagi gagal menjaringkan gol ketika tewas 0-2 kepada West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.
The Red Devils kini melalui empat perlawaanan berturut-turut tanpa menjaringkan gol dan ia kali pertama berlaku sejak 1992.
Bagaimanapun, pengurus pasukan itu, Ten Hag, berkata: "Kami memiliki pemain yang mampu melakukannya. Mereka sudah membuktikan sebelum ini bahawa mereka boleh melakukannya.
"Tetapi kami juga perlu menyedari hakikat bahawa kami tidak melakukannya sebagai satu pasukan. Bola sepak hanya mengenai kemenangan dan menjaringkan gol.
"Kami sedang mengalami masalah. Kami memiliki ramai pemain yang tidak dapat diturunkan dan cedera.
"Tetapi pemain yang diturunkan cukup bagus untuk memenangi perlawanan. Masuklah ke dalam kotak, pastikan anda berada di sana, pastikan anda memiliki keinginan untuk tiba di sana dan menjaringkan gol.
"Mereka mampu melakukannya. Saya tahu (Marcus) Rashford boleh menjaringkan gol, (Rasmus) Hojlund boleh menjaringkan gol, (Alejandro) Garnacho boleh menjaringkan gol, Bruno (Fernandez) boleh menjaringkan gol, Scott McTominay boleh menjaringkan gol.
"Kami memiliki kemampuan dalam skuad ini dan juga daripada gerakan bola pegun. Buat ketika ini, kami tidak melakukannya.
"Mereka perlu bersatu dan percaya mereka boleh melakukannya. Untuk melakukannya, anda perlu menjaringkan gol dan anda perlu masuk ke dalam kotak, terutama dalam kotak enam ela, anda perlu tiba di sana sebagai seorang penyerang," katanya.
#bola sepak #Manchester United #Liga Perdana Inggeris #Erik ten Hag
;