EPL: Unai Emery 'pecah telur' ketika Aston Villa tumbangkan Manchester City

Azrul Ekhsan Azman
Disember 7, 2023 11:30 MYT
ASTON VILLA 1 MANCHESTER CITY 0
Leon Bailey membantu Aston Villa meraih kemenangan 1-0 ke atas Manchester City untuk kini menyamai rekod terbaik kelab mereka dengan 14 kemenangan berturut-turut di laman sendiri dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park awal pagi tadi.
Kemenangan itu turut menyaksikan Villa melonjak ke tangga ketiga EPL dan memintas kedudukan juara bertahan berkenaan.
Ia juga merupakan kemenangan pertama Unai Emery ke atas Pep Guardiola selepas 14 percubaan sepanjang kariernya dan ia membuahkan hasil dalam perlawanannya yang ke-50 sejak menjadi pengurus Villa.
Jaringan Bailey pada minit ke-74 membuahkan hasil selepas bola terbias ke arah Ruben Dias yang mengelirukan penjaga gol City, Ederson, sekali gus memberikan kegembiraan buat penyokong tuan rumah.
Bagi City, ia adalah satu amaran buat mereka untuk tidak terlalu bergantung kepada Rodri, yang tidak dapat beraksi ekoran digantung perlawanan.
Mereka tidak tewas sepanjang 43 perlawanan terakhir ketika pemain tengah Sepanyol itu beraksi tetapi empat kekalahan yang dialami mereka musim ini kesemuanya berlaku ketika Rodri menjalani hukuman penggantugan.
#bola sepak #Manchester City #Aston Villa #Liga Perdana Inggeris
;