EPL: Tottenham ganti Stellini dengan Mason selepas diaibkan Newcastle

Muzaffar Musa
April 25, 2023 08:25 MYT
Tottenham melepaskan Cristian Stellini daripada jawatan ketua jurulatih sementara dan menggantikannya dengan Ryan Mason selepas diaibkan dengan kekalahan 1-6 di tangan Newcastle United hujung minggu lalu.
Stellini dilantik sebagai pengurus interim berikutan pemergian Antonio Conte bulan lalu tetapi bekas penolong jurulatih pasukan itu tidak dapat mengubah nasib Spurs dalam usaha mereka untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Tottenham ketinggalan 0-5 dalam 21 minit pertama perlawanan berdepan pesaing penamat empat teratas, Newcastle, dan mereka menjadi pasukan kedua tercepat dibolosi lima gol dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ia juga merupakan kali pertama Spurs tewas dengan perbezaan lima gol dalam saingan liga selepas kali terakhir dibelasah 0-5 oleh Liverpool pada 2013, sekali gus ketinggalan enam mata di belakang pasukan di tangga ketiga, Newcastle, biarpun sudah beraksi lebih satu perlawanan.
Dengan Stellini hanya dapat melakar satu kemenangan daripada empat perlawanan sejak menggantikan Conte, Pengerusi Spurs, Daniel Levy, memilih untuk sekali lagi mengubah ketua jurulatih pasukan itu buat kali kedua dalam tempoh sebulan.
Untuk rekod, Mason sebelum ini pernah menjadi pengurus interim Spurs selepas pemergian Jose Mourinho pada 2021, di mana mereka tewas 0-1 kepada Manchester City dalam final Piala Liga Inggeris (EFL).
Dia akan memulakan tugasnya dengan berdepan Manchester United awal pagi Jumaat ini, pada ketika The Red Devils akan turun ke Stadium Tottenham Hotspur dengan kelebihan enam mata dan dua perlawanan dalam tangan.

5 - Newcastle 6-1 Tottenham was the Magpies' biggest Premier League win since January 2011 v West Ham (5-0), and Spurs' heaviest Premier League defeat since December 2013 v Liverpool (0-5). Cricket. pic.twitter.com/mdEgqY1tXr

— OptaJoe (@OptaJoe) April 23, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Tottenham Hotspur #Newcastle United #Ryan Mason #Liga Perdana Inggeris #Cristian Stellini