Kemenangan West Ham membenam Wolverhampton Wanderers 2-1 di Stadium London mengurangkan tekanan terhadap ketua jurulatih, Julen Lopetegui, yang dalam misi untuk memperbaiki kedudukan pasukan itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25, musim ini.

Jarrod Bowen menjadi watak penting apabila menjaringkan gol kemenangan buat The Hammers untuk meraih tiga mata berharga di laman sendiri walaupun seleaps kehilangan tonggak penyerang utama, Michail Antonio.

Tandukan Tomas Soucek terlebih dahulu menghadiahkan West Ham kelebihan awal selepas menerima hantaran daripada Bowen, namun Matt Doherty kembali membuka perlawanan dengan jaringan penyamaan buat Wolverhampton untuk kedudukan terikat 1-1.





Kapten pasukan, Bowen kemudian memastikan jaringan kemenangan selang tiga minit kemudian untuk West Ham dengan sambutan golnya mencuri tumpuan apabila mengangkat baju milik Michail Antonio.

Dalam pada itu, Soucek turut menjelaskan bahawa dia mendedikasikan jaringkannya itu buat Antonio yang perlu menjalani pembedahan susulan terlibat dalam nahas kemalangan jalan raya minggu lalu.






"Gol itu adalah untuknya. Saya mendedikasikannya kepada dia. Dia berada di sini sejak saya datang ke sini lagi. Dia benar-benar rakan kegemaran saya. Saya katakan bahawa sukar untuk beraksi tanpa dia.

"Seluruh pasukan menghubunginya sebelum perlawanan, dia tersenyum dengan ucapan semoga berjaya. Saya tidak sabar untuk menziarahinya. Dia juga sempat membuat jenaka sebelum kami memulakan perlawanan.

"Ini (kemenangan) adalah untuknya, dia pemain yang berjiwa besar dan sentiasa di hati saya." katanya usai perlawanan.