LIGA INGGERIS

EPL: Ten Hag sahkan lanjutan kontrak Rashford, Shaw, Dalot, Fred di Manchester United

Muzaffar Musa 25/12/2022 | 00:10 MYT
Manchester United telah menghidupkan klausa lanjutan setahun yang terkandung dalam kontrak Marcus Rashford, Luke Shaw, Diogo Dalot dan Fred, demikian disahkan pengurus pasukan itu, Erik ten Hag.
Dengan United ketika ini hanya ketinggalan tiga mata di belakang kelompok empat teratas dan berkelebihan satu perlawanan dalam tangan bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), kesemua empat pemain itu telah memainkan peranan penting buat skuad Ten Hag berkenaan.
Secara khususnya, Rashford kelihatan telah kembali menemui sentuhan terbaiknya sejak pengendali berbangsa Belanda itu mengambil alih pasukan berkenaan, di mana dia ketika ini sedang mendahului senarai penjaring terbanyak The Red Devils musim ini dengan empat gol liga selain menemui sasaran sebanyak tiga kali buat England dalam Piala Dunia Qatar 2022 baru-baru ini.
Kontrak Rashford sepatutnya akan tamat pada penghujung musim ini dan dia sedang hangat dikaitkan untuk menyertai Paris Saint-Germain (PSG) tetapi Ten Hag mengesahkan pemain berusia 25 tahun itu akan kekal di Old Trafford.
Ditanya mengenai spekulasi tentang lanjutan kontrak keempat-empat pemain itu, pengendali United itu berkata kepada MUTV: "Benar, saya boleh sahkannya.
"Kami gembira kerana skuad ini sedang menuju ke haluan yang betul dan pemain ini telah memberikan sumbangan ke arah itu.
"Kami mahu mengembangkannya, kami mahu menyokong pemain ini dan mahu mereka kekal berada dalam proses kami, jadi kerana itu kami memilih keputusan berkenaaan dan saya pasti ia satu keputusan yang tepat.
"Kami mahu membentuk satu pasukan untuk masa depan, untuk tempoh yang lebih lama dan pemain ini perlu menjadi sebahagian daripadanya," katanya.
United seterusnya akan meneruskan saingan EPL dengan menantikan kunjungan Nottingham Forest di Old Trafford pada awal pagi Rabu ini.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #Manchester United #Liga Perdana Inggeris #Erik ten Hag
;