EPL

EPL: Teknologi ofsaid separa automasi diperkenalkan minggu depan

Muzaffar Musa 02/04/2025 | 06:17 MYT
Liga Perdana Inggeris (EPL) akan memperkenalkan teknologi ofsaid separa automasi (SAOT) bermula perlawanan minggu ke-32 pada Ahad depan.
Ia selepas melalui proses percubaan tanpa siaran langsung dalam saingan EPL selain beroperasi secara langsung dalam saingan Piala FA musim ini.
SAOT akan menyediakan penempatan garisan offside maya yang lebih cekap, berdasarkan penjejakan pemain secara optik, dan menghasilkan grafik maya untuk memastikan pengalaman dalam stadium dan penyiaran yang dipertingkatkan untuk penyokong.
Pengendalian SAOT tidak mengubah ketepatan membuat keputusan tetapi meningkatkan kelajuan, kecekapan dan konsistensi prosesnya.
"Liga Perdana telah bekerjasama dengan PGMOL dan syarikat data dan teknologi sukan, Genius Sports, untuk membangunkan sistem teknologi ofsaid separa automatik baharu – dan ini akan menjadi penggunaan pertamanya dalam pertandingan," kata badan pengelola itu dalam laman web mereka.
#bola sepak #Liga Perdana Inggeris #SAOT