TOTTENHAM HOTSPUR 2 BRIGHTON & HOVE ALBION 1

Son Heung-min berharap jaringannya yang ke-100 untuk mencipta sejarah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dapat menjadi inspirasi buat pemain lain di seluruh Asia selepas mencapai angka itu ketika membantu Tottenham menewaskan Brighton and Hove Albion 2-1 di laman sendiri lewat malam tadi.

Son memberikan Spurs jaringan pembukaan dengan rembatan kencang ke arah penjuru atas kanan gawang lawan sebelum Harry Kane menjaringkan gol kemenangan mereka selepas Lewis Dunk menyamakan kedudukan buat The Seagulls.

Pemain kebangsaan Korea Selatan itu menjadi pemain Asia pertama mendaftarkan 100 jaringan dalam EPL selain turut menjadi pemain pertama menghasilkan 100 gol dan 50 bantuan jaringan buat Spurs dalam kejohanan itu.

Bercakap kepada BBC selepas kemenangan ke atas pencabar kelompok enam teratas itu, Son mendedikasikan jaringan bersejarah berkenaan buat mendiang datuknya dan berharap akan ada lebih ramai pemain dari Asia menyusuli jejaknya.

"Ini merupakan sesuatu yang saya impikan. Ia pencapaian yang luar biasa, di mana saya tidak akan dapat mencapainya tanpa rakan sepasukan saya.

"Menjaringkan 100 gol dalam EPL merupakan perkara besar. Saya amat beremosi kerana saya melalui waktu sukar sepanjang beberapa minggu lalu.

"Datuk saya meninggal dunia dan ia bukan mudah. Saya harap dapat mengirimkan jaringan ini kepadanya.

"Saya harap semua pemain Asia -- terutama di Korea Selatan -- dapat melihat pencapaian ini dan percaya mereka juga boleh melakukannya.

"Ia perkara yang bagus buat Asia dan saya memikul tanggungjawab yang besar untuk menjadi contoh buat pemain muda.

"Saya mahu mereka percaya bahawa pemain Asia juga boleh melakukan perkara luar biasa dalam EPL," katanya.