EPL: Slot anggap Liverpool 'hampir sempurna' ketika tewaskan Manchester City
Hanis Natasya
Disember 2, 2024 15:28 MYT
Disember 2, 2024 15:28 MYT
Arne Slot percaya Liverpool sudah "hampir sempurna" ketika meraih kemenangan 2-0 ke atas Manchester City di Anfield awal pagi tadi.
Kemenangan itu menyaksikan The Reds kini berkelebihan sembilan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jaringan Cody Gakpo dan Mohamed Salah dalam perlawanan itu menyaksikan Liverpool menambah sengsara buat lawan bimbingan Pep Guardiola berkenaan, yang mengakibatkan The Citizens terpaksa menelan kekalahan keenam daripada tujuh perlawanan terakhir.
Ia juga merupakan kelebihan terbesar Liverpool di puncak liga sejak mereka memenangi kejuaraan terakhir pada hari terakhir musim 2019–20 (18 mata).
Slot memuji prestasi pasukannya di Anfield tetapi tidak mahu terbawa-bawa dengan kemenangan terbaru itu.
"Ya (ia adalah perlawanan yang hampir sempurna), dan jika anda melihat pada kadar kerja, saya fikir ia adalah sempurna. Jumlah peluang yang kami terlepas menjadikannya sengit pada penghujungnya," kata Slot.
"Tetapi mungkin itu bagus untuk perlawanan seperti ini. Ia sepatutnya seperti ini tetapi adalah lebih baik untuk menjaringkan gol kedua lebih awal.
"Mereka benar-benar mahir dalam membina permainan tetapi kami sentiasa memberikan tekanan tinggi.
"Oleh itu, anda mesti melakukan banyak usaha. Pemain kami bermain dengan bersemangat. Selain pemain kami, penyokong hari ini juga sangat mengagumkan.
"Kami pasukan yang berdaya saing dan sukar untuk menewaskan kami. Bagaimanapun, kami juga perlu bekerja keras tetapi ada pemain kami mengalami kecederaan.
"Kami terpaksa mengeluarkan Trent (Alexander-Arnold). Ia boleh menjadi risiko
"Ini adalah cabaran yang kami hadapi ketika ini tetapi setiap orang mesti menghadapinya dengan teliti. Minggu depan adalah perlawanan penting menentang Newcastle dan Everton," katanya.