EPL: Sheikh Jassim tarik diri beli Manchester United
Muzaffar Musa
Oktober 15, 2023 10:53 MYT
Oktober 15, 2023 10:53 MYT
Sheikh Jassim menarik diri daripada proses pembelian kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United, demikian dilaporkan agensia berita PA.
Penyokong United melakukan protes berterusan terhadap Keluarga Glazer sejak mereka mengambil alih kelab itu secara kontroversi pada 2005 dan pengumuman mengenai perubahan strategik pada November lalu meniupkan satu harapan baru buat mereka.
Terdapat kemungkinan untuk penjualan pemilikan itu secara penuh dan Sheikh Jassim merupakan pembida pertama mengumumkan minatnya untuk memiliki pasukan gergasi di Old Trafford berkenaan.
Sir Jim Ratcliffe kemudian turut menyatakan minatnya untuk menjadi pemilik baru kelab itu tetapi Keluarga Glazer kemudian meningkatkan keperluan yang diutamakan untuk mendapatkan kelab berkenaan.
Kini, difahamkan bahawa selepas perbincangan terperinci, Sheikh Jassim dengan rasa kecewa telah menarik diri daripada proses pemilikan kelab itu.
Ahli perbankan Qatar itu dilaporkan telah memaklumkan keputusan berkenaan kepada pemilik United beberapa hari lalu.
Sebagai rekod, United kini menduduki tangga ke-10 EPL selepas permulaan hambar di bawah bimbingan Erik ten Hag musim ini.