EPL: Seri dengan Villa beri Ten Hag sedikit masa -- Gary Neville

Muzaffar Musa
Oktober 7, 2024 11:19 MYT
Gary Neville percaya Manchester united memberikan Erik ten Hag sedikit masa lagi selepas seri tanpa jaringan dengan Aston Villa malam tadi tetapi tidak pasti berapa lama pengendali itu akan bertahan.
United gagal mencatatkan sebarang kemenangan sepanjang lima perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan keputusan seri dengan Villa merupakan yang keempat sepanjang tempoh itu selain tewas 0-3 kepada Tottenham dalam aksi terakhir di laman sendiri.
Pasukan bimbingan Ten Hag itu hanya memenangi tiga daripada 10 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan dan merekodkan permulaan terburuk dalam satu musim Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila kini menduduki tangga ke-14 dengan hanya lapan mata selepas tujuh perlawanan.
Berdepan Villa, yang menewaskan Bayern Munich dalam perlawanan terakhir, keputusan seri itu boleh dianggap sesuatu yang baik tetapi Neville percaya ia satu penanda aras rendah buat pasukan itu ketika ini.
"Ia satu langkah kecil ke depan," katanya kepada Sky Sports.
"Sebelum perlawanan itu, jika anda menawarkan penyokong United, pemain atau jurulatih mereka keputusan seri itu, mereka mungkin akan memarahi anda.
"Kerana itu, pada penghujung perlawanan, anda dapat lihat dalam temu bual Erik ten Hag ada elemen kelegaan kerana ia dapat meredakannya untuk beberapa minggu. Ia memberikan mereka sedikit masa lagi.
"Saya tidak fikir sesiapa sahaja yang menyangka satu insiden besar akan berlaku selepas perlawanan akan berlaku dengan keputusan seri.
"Mereka sentiasa fikir ia perlu menjadi hari yang sukar atau kekalahan yang sukar seperti minggu lalu sewaktu menentang Tottenham. Saya fikir ia memberikan Ten Hag sedikit masa.
"Ia adalah permulaan terburuk Manchester United dalam sejarah EPL jadi kita tidak boleh meraikannya. Apabila kita fikir ia adalah mata yang baik apabila anda seri di Villa, ia memperlihatkan kepada anda sejauh mana Villa telah berkembang tetapi ia juga memperlihatkan kepada anda betapa rendahnya penanda aras buat United pada masa ini," katanya.
#bola sepak #Manchester United #Aston Villa #Liga Perdana Inggeris #Erik ten Hag
;