EPL: Semua di Manchester United bersatu, kata Ten Hag selepas seri dengan Aston Villa

Muzaffar Musa
Oktober 7, 2024 10:30 MYT
Erik ten Hag menegaskan bahawa dia dan hierarki tertinggi Manchester United masih bersatu walaupun terikat tanpa jaringan dengan Aston Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park malam tadi.
United melalui keputusan seri keempat selain tewas kepada Tottenham daripada lima aksi terakhir.
The Red Devils kini menduduki tangga ke-14 liga dengan hanya lapan mata, yang merupakan kedudukan terendah mereka selepas lapan perlawanan dalam satu-satu musim, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap masa depan Ten Hag bersama pasukan itu.
Biarpun spekulasi mengenai masa depannya kian bertiup kencang, pengendali berbangsa Belanda itu kekal tenang dan hanya fokus kepada aspek positif yang ditampilkan pasukannya.
Ditanya sama ada dia ada berbincang dengan lembaga pengarah Unied, Ten Hag berkata kepada Sky Sports: "Kami sentiasa berbincang, setiap minggu kami berbincang.
"Kami semua bersatu ke arah sama, satu muka surat yang sama, kami tahu apa yang sedang kami usahakan. Ia proses jangka panjang.
"Saya fikir ia perlawanan tanpa bolos keempat kami musim ini. Anda dapat lihat kami memiliki organisasi dan perpaduan yang baik.
"Ia satu perkawatakan dan semangat berpasukan yang baik, berkeazaman dan berdaya tahan.
"Kami hampir tidak memberikan mereka sebarang peluang dan pada penghujung permainan, mereka memiliki peluang besar (dalam waktu kecederaan) tetapi saya fikir hanya itu sahaja peluang mereka.
"Kami melalui aksi di laman lawan yang amat sukar. Ini lah pasukannya, kami menunjukkan yang kami percaya dan yakin dengan apa yang kami ada," katanya.
#bola sepak #Manchester United #Aston Villa #Liga Perdana Inggeris #Erik ten Hag
;