Pemain Uruguay dan Tottenham Hotspur, Rodrigo Bentancur, sah dihukum tujuh perlawanan oleh Persatuan Bolasepak England (FA England), akibat membuat kenyataan bersifat rasis terhadap rakan sepasukannya, Son Heung-min dalam satu temubual, dua bulan lalu.
"Saya terima perkhabaran ini daripada ejen sendiri. Setakat ini, pihak kelab masih belum berkomunikasi bersama saya walaupun berita ini telah pun tersebar secara rasmi.
"Jadi, saya hanya mampu bertenang bersama skuad kebangsaan ketika ini. Kemudian, saya hanya menunggu masa untuk kembali ke kelab," kata Bentancur.
Bagi kapten Spurs pula, perkara tersebut telah pun diselesaikan secara peribadi.
Penyerang Korea Selatan itu juga berkongsi bahawa dia percaya Bentancur benar-benar menyesal dengan kesilapannya.
"Saya sayang Rodrigo, betul-betul sayang. Terlalu banyak kenangan bersama.
"Kami mula bermain bersama sejak awal dia menyertai kelab. Dia sedar akan kesilapannya. Dia juga telah meminta maaf secara peribadi.
"Selepas kembali ke sesi latihan daripada percutian, dia rasa sangat bersalah.
"Saya tetap sayang Rodrigo, dia sedar dengan kesilapannya, dan saya tiada masalah langsung atas hal itu," kata Son Heung Min.
Sabrina Mustaffa
Tue Nov 19 2024