EPL: Ratcliffe dilapor sedang pertimbang beli saham minoriti Manchester United
Kamal Nizam
Oktober 3, 2023 10:50 MYT
Oktober 3, 2023 10:50 MYT
Sir Jim Ratcliffe sedang mempertimbangkan untuk mengubah tawarannya kepada hanya membeli saham minoriti Manchester United, demikian dilaporkan media-media antarabangsa.
Pengasas Ineos, Ratcliffe, yang cuba untuk membeli Chelsea pada tahun lalu, menyertai perlumbaan untuk membeli United pada Januari dan menjadi pendahulu sebelum Sheikh Jassim muncul dengan tawaran lebih tinggi sebulan kemudian.
Drama pengambilalihan itu berlangsung panjang dengan beberapa tawaran baru dibuat Ratcliffe dan Sheikh Jassim tetapi tiada apa-apa kemajuan terhadap perubahan pemilikan daripada keluarga Glazer, yang pada November lalu berkata mereka terbuka untuk menjual kelab itu.
Nilai Manchester United di Bursa Saham New York menjunam lebih dari £500 juta bulan lalu selepas pihak Glazer dilaporkan mungkin tidak akan menjualnya.
Dilaporkan juga, ketika ini, Ratcliffe, orang kedua terkaya di UK mengikut senarai Sunday Times Rich, mungkin memutuskan untuk membeli saham minoriti pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Sky News melaporkan Ratcliffe mungkin ingin mendapatkan 25% saham, yang merupakan sebahagian daripada tawaran untuk mengakhiri proses pembelian itu, yang pada awalnya adalah pengambilalihan penuh.
Jika Glazer menerima tawaran baru ini, ia akan menyaksikan keluarga Amerika itu masih lagi menjadi pemegang saham terbesar kelab yang mereka beli pada 2005 itu.
Peminat United sudah lama membuat protes ke atas Glazer dan beribu-ribu menyertai gerakan untuk duduk dalam stadium selama sejam di Old Trafford selepas kemenangan 3-2 ke atas Nottingham Forest pada Ogos lalu.
Ia kini sudah 18 tahun sejak pengambilalihan kontroversi Glazer dan 10 bulan sejak mereka umumkan untuk mengadakan perubahan strategik.
Dalam pada itu, Pihak Ratcliffe mengambil pendekatan untuk tidak memberikan apa-apa komen ketika dihubungi agensi berita PA.