EPL: Peminat bola sepak digalak elak siaran haram

Ammar Hakim
Disember 19, 2023 16:44 MYT
Para pemain Liga Perdana dari kelab-kelab termasuk Manchester United dan Liverpool mengetuai kempen ‘Anti Cetak Rompak' terkini bagi Liga Perdana untuk meningkatkan kesedaran para peminat Malaysia tentang risiko dan kesan negatif akibat penstriman di laman web tidak rasmi.
Kempen yang memasuki musim keempat di Malaysia yang dilancarkan pada hari ini menampilkan bintang-bintang Liga Perdana termasuk Casemiro (Manchester United), Diogo Jota (Liverpool), Julio Enciso (Brighton & Hove Albion), Abdoulaye Doucouré (Everton) dan Taiwo Awoniyi (Nottingham Forest).
Menerusi siri video yang akan dipaparkan di saluran-saluran digital, para pemain menekankan bahawa mereka yang strim perlawanan-perlawanan di laman web tidak rasmi menerusi peranti penstriman akan mendedahkan diri terhadap ancaman serangan siber termasuk perisian jahat dan perisian perosak. Selain dari risiko penipuan dan kecurian data peribadi, laman-laman web tidak rasmi ini juga berkemungkinan besar hanya menawarkan siaran berkualiti rendah yang tidak boleh dipercayai.
Menurut sebuah laporan bertajuk 'Memberi Penghargaan kepada Pengendali Pemalsuan' yang dikeluarkan oleh “Digital Citizens Alliance” pada Jun 2023,, 44 peratus pengguna yang mengakses siaran cetak rompak dalam talian mengalami kes kecurian identiti. Laporan yang sama juga menemui 46 peratus pengguna yang menggunakan laman-laman web cetak rompak mengalami serangan perisian jahat.
Profesor Paul Watters, seorang penyelidik dan pakar konsultan keselamatan siber berkata: "Tahun 2022 telah melaporkan tahap kerugian pengguna internet paling tinggi yang diakibatkan oleh serangan perisian jahat. Pengguna internet perlu sedar bahawa punca utama serangan ini boleh berlaku disebabkan penggunaan laman-laman web dan aplikasi yang menawarkan siaran cetak rompak.
"Walaupun perisian antivirus boleh membantu melindungi pengguna pada tahap tertentu, namun pembaharuan perisian antivirus tidak selaju kemajuan variasi perisian jahat. Oleh itu, perlindungan yang terbaik untuk pengguna adalah pencegahan- elakkan laman web yang menjalankan dan mengedarkan perisian jahat."
Liga Perdana sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di seluruh Asia dan dunia untuk mengambil tindakan terhadap pengendali laman-laman web tidak rasmi dan pembekal peranti penstriman haram. Kerjasama ini merupakan usaha berterusan dengan penguatkuasaan undang-undang Malaysia untuk mendakwa semua pengendali peranti siaran haram.
Liga Perdana juga memuji pihak pengawal selia Kerajaan Malaysia dalam usaha mereka membanteras sindiket cetak rompak sukan yang beroperasi dalam negara ini. Selain menghalang siaran haram Liga Perdana dan kandungan cetak rompak yang lain, mereka juga menghadkan akses kepada operasi perjudian tanpa lesen tidak terkawal yang mungkin membawa risiko tinggi kepada pengguna.
Usaha kerjasama antara Liga Perdana dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Malaysia telah berjaya menyekat hampir 300 domain laman web yang paling popular dengan siaran haram Liga Perdana. Ini menjadi sebuah bukti akan komitmen Kerajaan Malaysia untuk melindungi kepentingan pengguna dan hak milik intelektual Liga Perdana.
Peguam Besar Liga Perdana, Kevin Plumb berkata: "Kami faham semangat peminat bola sepak Liga Perdana di Malaysia dan juga di seluruh Asia. Melalui kempen 'Anti Cetak Rompak' ini, kami akan terus mengingatkan peminat bola sepak tentang risiko menonton perlawanan melalui laman-laman web tidak rasmi supaya kami boleh mencegah segala kesulitan.
"Mereka yang menggunakan laman web tidak rasmi tidak akan dapat pengalaman tontonan terbaik, dan mereka juga bakal menghadapi pelbagai risiko serangan siber. Dengan mengakses kandungan cetak rompak, mereka akan mendedahkan diri mereka kepada penjenayah siber yang menggunakan pelbagai cara untuk menggodam peranti penonton. Ini boleh membawa kepada pelbagai isu termasuk penipuan dan kecurian identiti.
"Kami menasihatkan peminat bola sepak Malaysia untuk berjaga-jaga dengan laman-laman web tidak rasmi dalam talian, melindungi keselamatan data mereka danmenonton bola sepak Liga Perdana dengan selamat dalam kualiti yang terbaik melalui rakan siaran rasmi kami."
"Selain mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang risiko menonton siaran cetak rompak, kami juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyekat laman web tidak rasmi dan platform siaran cetak rompak serta mendakwa semua pengendali peranti penstriman haram."
Liga Perdana juga bekerjasama dengan rakan siaran tempatan, Astro dalam kempen 'Anti Cetak Rompak' di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smithberkata: "Sebagai rakan siaran rasmi Liga Perdana di Malaysia, Astro adalah satu-satunya saluran di mana anda boleh menyaksikan perlawanan-perlawanan Liga Perdana secara langsung dan dalam 4K UHD premium. Untuk melindungi hak peminat sukan berbayar kami, Astro aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa dan Liga Perdana untuk menyampaikan pesanan secara teguh bahawa segala siaran cetak rompak adalah satu kecurian , tidak sah dan boleh dihukum berdasarkan undang-undang. Kami memandang serius terhadap perkara ini serta mengambil berat akan kesannya terhadap pengguna dan juga industri. Justeru, kami akan terus menyeru semua pihak untuk menentang segala aktiviti cetak rompak."
Kempen ini akan dipaparkan menerusi saluran-saluran penyiaran, media sosial, laman web dan YouTube di Malaysia, Singapura, Indonesia, Hong Kong, Thailand dan Vietnam.
#EPL
;