Giorgi Mamardashvili yang sah menyertai Liverpool dari Valencia menjelang musim 2025-26 curi tumpuan apabila menyertai skuad kebangsaan Georgia persis model dengan kereta mewahnya.

Georgia bakal menentang Republik Czech dan Albania bermula 8 September dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA dan kudratnya pasti ditagih pengendali, Willy Sagnol selepas membantu pasukannya mara ke pusingan 16 Euro 2024.
The Reds mencapai persetujuan untuk perpindahannya dengan kelab Sepanyol itu minggu lalu dan yang terbaru Mamardashvili telah dicalonkan untuk Trofi Yachine 2024 dengan pemenang akan diumumkan pada majlis Ballon d’Or 2024 di Paris 28 Oktober depan.

Pemain berusia 23 tahun itu akan kekal bersama Valencia penggal ini, telah dinamakan pada hari Khamis dalam senarai pendek 10 pemain untuk Trofi Yachine.
Penjaga gol Valencia ini menyertai senarai pendek Trofi Yachine bersama Diogo Costa, Gianluigi Donnarumma, Gregor Kobel, Andriy Lunin, Mike Maignan, Emiliano Martinez, Unai Simon, Yann Sommer dan Ronwen Williams.