Gary O'Neil tidak bimbang malah yakin bahawa Wolves akan mampu sekali lagi melakar kejayaan dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL)musim ini walaupun tewas 2-1 kepada Newcastle pada Ahad.

Dalam aksi semalam, Mario Lemina menghadiahkan ledakan gol pertama tuan rumah untuk mendahului pada minit ke-36.

Bagaimanapun, kelebihan itu dipadamkan dengan dua jaringan oleh Fabian Schar dan Harvey Barnes di penghujung babak permainan untuk melenyapkan cita-cita Wolves memungut tiga mata.

Wolves kini gagal memenangi mana-mana daripada empat perlawanan liga pembukaan mereka musim ini dan menduduki di tangga ketiga tercorot.

Daripada empat perlawanan, Wolves hanya mampu mengumpulkan satu mata sahaja iaitu ketika berdepan dengan Nottingham Forest di mana ia merupakan rekod terburuk pernah dilakarkan oleh kelab itu
di permulaan musim liga.

Momentum itu seakan mahu mengulangi prestasi hitam mereka di musim 2003-04, apabila mereka tersingkir di tempat terakhir.

Kelab bimbingan O'Neil itu juga merekodkan kekalahan dalam enam perlawanan terakhir mereka di Molineux dan lebih banyak tewas pada setiap perlawanan di laman sendiri.

Malah musim lalu Wolves hanya sekadar menamatkan kempen liga di tempat ke-14.

"Sudah pastinya orang akan menilai pencapaian mereka dalam saingan musim lalu. Namun, saya pasti kami akan mampu mengatasinya berbanding apa yang kebanyakan orang sangkakan.

"Semua orang mahu melihat kemenangan pertama kami dan perakara itu hampir berlaku hari ini." Katanya sejurus perlawanan tersebut.