EPL: Newcastle United tagih Bruno Guimaraes ulangi prestasi terbaik
Shaiful Shamsudin
Disember 10, 2023 16:33 MYT
Disember 10, 2023 16:33 MYT
Eddie Howe berkata Newcastle memerlukan Bruno Guimaraes untuk berada di tahap terbaik demi memacu pasukannya, lebih-lebih lagi dalam pertemuan getir di Tottenham tengah malam ini.
Pemain antarabangsa Brazil berusia 26 tahun itu sedang dalam prestasi terbaik dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini selepas bergelut dengan kecederaan buku lali yang berterusan sejak beberapa bulan, dan adakalanya menghalangnya daripada mencapai tahap tertinggi dalam beberapa bulan pertamanya di England.
Bagaimanapun, dia merupakan salah seorang pemain tunjang buat Magpies dalam kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Chelsea dan Manchester United selain memainkan peranan penting ketika seri 1-1 di Paris St Germain (PSG) untuk kempen Liga Juara-Juara (UCL).
Justeru, kepulangannya ke tahap itu dianggap sukar untuk dilakukan tetapi dia mengagumkan pengurusnya itu tatkala dia berdepan dengan dilema pemilihan pemain.
Dia berkata: “Anda memerlukan pemain terbaik anda untuk beraksi di tahap tertinggi dan apabila kami berada dalam situasi sebegini, saya fikir Bruno sudah membuktikannya.
“Saya fikir ketika bertemu Manchester United dan Chelsea, dia telah menyajikan aksi terbaiknya termasuk dalam separuh masa pertama ketika menentang PSG.
“Saya fikir dia sangat, sangat bagus dengan kawalan bola. Cukup kreatif, berjaya menghubungkan dirinya dengan pemain di hadapannya. Malah, tanpa bola sekalipun, saya fikir dia cukup bagus kerana dengan fizikal yang sangat baik, dia memberi tekanan kepada lawan dengan sangat baik.
“Dia seorang pemain penting bagi kami dan ia menuntut fizikal untuk bekerja keras tetapi dia mampu mengulangi tuntutan fizikal yang kami tagih daripadanya, jadi saya fikir prestasinya di tahap yang sangat baik.
“Semestinya kami beraksi dengan baik kerana dia merupakan titik tumpuan.”