EPL: Newcastle layak ke UCL selepas seri dengan Leicester
Muzaffar Musa
Mei 23, 2023 09:41 MYT
Mei 23, 2023 09:41 MYT
NEWCASTLE UNITED 0 LEICESTER CITY 0
Penjaga gol, Nick Pope, memastikan Newcastle United sah layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah(UCL) musim depan dengan berbaki satu perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mempamerkan aksi tangkas untuk menafikan kemenangan penting Leicester City, yang berusaha untuk kekal dalam saingan divisyen utama berkenaan.
Pemain yang menyertai The Magpies dengan tanda harga £10 juta (RM56.59 juta) itu menafikan percubaan voli Timothy Castagne pada minit kedua waktu kecederaan di St James' Park awal pagi tadi untuk memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga wisel terakhir.
Percubaan Callum Wilson dan Miguel Almiron kedua-duanya terkena tiang tetapi hanya satu mata yang diperlukan Newcastle untuk mengesahkan tiket ke saingan utama peringkat benua itu musim depan -- buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.
Nasib berbeza menimpa Leicester, yang kini ketinggalan dua mata daripada zon selamat dan perlu meraih kemenangan dalam aksi terakhir menentang Wast Ham biarpun nasib mereka bukan lagi di tangan sendiri.
Newcastle bimbingan Eddie Howe kemudian menerima sorakan padu daripada 52,152 penyokong selepas wisel penamat, di mana mereka layak ke saingan UCL buat kali ketiga sepanjang sejarah kelab itu dan jauh lebih awal berbanding sasaran yang ditetapkan sewaktu pemilik baru mereka dari Arab Saudi mengambil alih kelab itu pada Oktober 2021.