LIGA INGGERIS
EPL: Marco Silva lega Fulham kembali dapat khidmat Mitrovic selepas penggantungan jangka panjang
Marco Silva lega apabila Aleksandar Mitrovic kini selesai menjalani penggantungan lapan perlawanan dan bersedia untuk kembali diturunkan hujung minggu ini.
Fulham tidak dapat menggunakan khidmat penjaring terbanyak mereka itu sejak insiden dia menyerang pengadil, Chris Kavanagh, sewaktu tewas kepada Manchester United dalam saingan Piala FA pada Mac lalu.
Mitrovic, yang kekal berlatih bersama pasukan itu sejak awal penggantungannya, telah menjaringkan 11 gol dalam 21 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Fulham musim ini selepas dia memecahkan rekod 43 gol dalam Liga Kejuaraan musim lalu untuk membantu pasukannya kembali ke saingan divisyen perdana berkenaan.
Iklan
"Mitrovic sudah kembali dan ia sentiasa baik untuk kembali mendapatkan khidmatnya," kata Silva, yang pasukannya akan bertandang ke laman kelab tercorot, Southampton, hujung minggu ini.
"Ia waktu yang sukar, saya tidak akan menafikannya kepada anda. Sikapnya amat baik sepanjang tempoh ini, dengan sokongan daripada pihak kami. Dia sudah menyedarinya sejak dari awal bahawa ia akan berbeza berbanding penggantungan biasa atau kecederaan ringan.
"Dia sentiasa bersama pasukan ini. Ia satu tempoh yang sukar buatnya, itu sudah pasti. Amat bagus untuk dia kembali bersama kami.
"Kami dapat rasakannya, ia satu perkara yang diperbesar-besarkan. Kami mengakui sebagai sebuah kelab bahawa anda tidak boleh memberikan reaksi dalam situasi seperti itu.
"Ia amat jelas, dia melakukannya, dia mengakui kesilapan itu tetapi jumlah perlawanan berkenaan, jika anda bandingkannya dengan situasi lain, ia amat berbeza. Kami sebagai sebuah kelab kekal tabah dan kekal memberikan sokongan buatnya," katanya.
Must-Watch Video