EPL: Ia perasaan yang hebat untuk jadi pemain Manchester United -- Mazraoui
Muzaffar Musa
Ogos 14, 2024 09:08 MYT
Ogos 14, 2024 09:08 MYT
Manchester United mengesahkan pembelian Noussair Mazraoui daripada Bayern Munich.
Bek kiri itu menandatangani kontrak empat tahun bersama The Red Devils dengan kesepakatan bernilai £17 juta (RM97.46 juta).
Dia merupakan pemain kedua menyertai United daripada gergasi Bundesliga itu hari ini, di mana kelab itu turut mengumumkan ketibaan Matthijs de Ligt.
Mazraoui menyertai Bayern pada Julai 2022, membuat 55 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang tempoh dua tahunnya dan kini bersatu semula dengan Erik ten Hag, yang memberinya penampilan sulung di Ajax.
Musim lalu, dia mencipta peluang ketiga terbanyak dalam kalangan pertahanan Bayern (15) walaupun hanya membuat 19 penampilan dalam Bundesliga.
“Ia satu perasaan yang hebat untuk menjadi pemain Manchester United dan saya tidak sabar untuk ke Old Trafford dengan memakai seragam merah,” kata Mazraoui kepada saluran media United.
"Saya sedar bahawa saya menyertai kelab ini pada masa yang menarik, setiap orang yang saya ajak bercakap mempunyai cita-cita yang sama untuk kami memenangi trofi bersama dan saya dapat rasakan keazaman mereka untuk mencapainya.
"Erik ten Hag memainkan peranan penting dalam perkembangan saya sebagai pemain, jadi ia sangat mengujakan untuk bersatu semula dengannya ketika saya memasuki tahun-tahun perdana kerjaya saya.
"Saya tahu apa yang dia harapkan daripada pemainnya dan saya akan memberikan segalanya untuk membantu kejayaan pasukan ini," katanya
Mazraoui merupakan pembelian keempat United dalam jendela perpindahan kali ini selepas Joshua Zirkzee dan Lenny Yoro turut menyertai kelab itu.