EPL: Chelsea sepatutnya menang lawan Forest, kata Maresca
Muzaffar Musa
Oktober 7, 2024 11:37 MYT
Oktober 7, 2024 11:37 MYT
Enzo Maresca menegaskan bahawa Chelsea sepatutnya menang dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Nottingham Forest di laman sendiri malam tadi walaupun mereka terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Pasukan tuan tumah itu ketinggalan 0-1 pada minit ke-49 di Stamford Bridge apabila Chris Wood menjaringkan gol pembukaan pelawat menerusi sepakan percumanya.
Bagaimanapun, Noni Madueke kembali menyamakan kedudukan buat Chelsea berselang lapan minit.
Forest kini berhasil mencuri mata daripada dua pasukan dalam kelompok empat teratas EPL di gelanggang lawan, di mana mereka turut mencatatkan kemenangan 1-0 di laman pendahulu liga, Liverpool.
Pengurus Chelsea, Maresca, bagaimanapun, berasakan pasukannya sepatutnya meraih kemenangan dalam perlawanan itu memandangkan mereka beraksi dengan lebih seorang pemain sepanjang 13 minit terakhir selepas James Ward-Prowse dilayangkan kad merah.
"Saya fikir kami sepatutnya menang," katanya kepada BBC MOTD2.
"Mereka pasukan yang amat baik, kami sedar mereka akan bertahan dengan baik.
"Ia perlawanan yang amat sukar dan berbahaya, amat berbeza dengan Brighton. Kami bersabar sewaktu menguasai bola dan mencipta peluang.
"Penjaga gol mereka memiliki permainan terbaik. Kami mencipta peluang dan memperoleh gol dengan cara yang kami mahukan," katanya.