EPL: Bukayo Saka jaring gol gemilang bantu Arsenal buka kempen dengan atasi Forest

Muzaffar Musa
Ogos 12, 2023 23:03 MYT
ARESENAL 2 NOTTINGHAM FOREST 1
Arsenal memulakan misi untuk merampas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Manchester City dengan kemenangan apabila Bukayo Saka menjaringkan gol gemilang sewaktu menewaskan Nottingham Forest 2-1 sebentar tadi.
Selepas perlawanan di Stadium Emirates itu ditunda selama setengah jam, Eddie Nketiah dan Saka memperoleh jaringan buat tuan rumah dalam separuh masa pertama tetapi mereka gagal melebarkan jurang itu dalam babak kedua, di mana Taiwo Awoniyi merapatkan jurang buat Forest.
Masalah pintu masuk membuatkan perlawanan itu terpaksa ditunda selama 20 minit tetapi ia langsung tidak menurunkan suasana di stadium berkenaan sebagai memulakan usaha Arsenal memperbaiki rekod bergelar naib juara EPL musim lalu.

Picture perfect ? pic.twitter.com/3i11vMtX5i

— Arsenal (@Arsenal) August 12, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kekalahan kepada Forest pada Mei lalu memusnahkan peluang Arsenal bergelar juara tetapi ia tidak berulang dalam pertemuan kali ini, bermula dengan insiden kesilapan penjaga gol Forest, Matt Turner -- yang melakukan penampilan pertamanya bersama pasukan itu selepas tiba daripada Arsenal minggu lalu -- gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya yang hampir dihukum Nketiah tetapi percubaannya tersasar.
Jaringan pembukaan cantik diperoleh Arsenal apabila Gabriel Martinelli melakukan lorongan untuk mendapatkan Nketiah dalam kawasan penalti Forest sebelum melepaskan rembatan yang sempat terbias ke badan Joe Worrall dan menerjah jaring Turner pada minit ke-26.
Saka kemudian mencuri tumpuan utama apabila menerima baik hantaran William Saliba untuk melencongkan bola ke gawang lawan, sekali gus memberikan Arsenal kelebihan dua gol menuju ke bilik persalinan.
Bagaimanapun, senyuman di wajah pengurus Arsenal, Mikel Arteta, tidak kekal lama apabila pemain barunya, Jurien Timber, kelihatan terhincut-hincut gara-gara kecederaan lutut sebelum dikeluarkan minit ke-50.
Pemain gantian Forest, Anthony Elanga, kemudian melakukan larian pantas dalam satu serangan balas susulan sepakan penjuru untuk disempurnakan Awoniyi bagi merapatkan jurang tetapi Arsenal mengekalkan penguasaan sehingga ke wisel panamat.
#bola sepak #Arsenal #Nottingham Forest #Liga Perdana Inggeris #Bukayo Saka
;