EPL: Arsenal bangkit tapi tetap cicir mata lawan Southampton
Muzaffar Musa
April 21, 2023 06:31 MYT
April 21, 2023 06:31 MYT
ARSENAL 3 SOUTHAMPTON 3
Arsenal bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Southampton 3-3 tetapi pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu keciciran mata buat kali ketiga berturut-turut awal pagi tadi.
Selepas mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum terikat 2-2 dalam dua perlawanan terakhir, Arsenal kali ini ketinggalan 0-2 seawal 14 minit pertama menentang Southampton di Stadium Emirates.
Carlos Alcaraz memanfaatkan kesilapan Aaron Ramsdale untuk meletakkan pelawat di depan seawal 27 saat pertama sebelum bekas pemain The Gunners, Theo Walcott, menggandakan kelebihan itu pada minit ke-14.
Gabriel Martinelli, bagaimanapun, mengecilkan jurang jaringan itu pada minit ke-20, sekali gus menyaksikan Arsenal menamatkan separuh masa pertama dengan ketinggalan 1-2.
Duje Caleta-Car menambah derita Arsenal dengan jaringannya pada minit ke-66 tetapi gol lewat permainan daripada Martin Odegaard dan Bukayo Saka, masing-masing pada minit ke-88 dan 90, menyaksikan Arsenal kini berkelebihan lima mata di atas pencabar terdekat, Manchester City -- yang berkelebihan dua perlawanan dalam tangan -- menjelang pertemuan kedua-dua pasukan itu, awal pagi Khamis ini.