Pengurus Liverpool, Arne Slot, berminat untuk meneruskan asas kukuh yang digarap Jurgen Klopp sepanjang tempoh pengendaliannya di Anfield.

Slot, yang mengemudi Feyenoord mencapai kejayaan menjulang Piala KNVB musim lalu, secara rasminya memulakan peranan pada awal bulan ini ketika The Reds bagi memulakan musim pertama tanpa Klopp yang memenangi lapan trofi selama sembilan tahun di Merseyside.

Selain menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Chelsea, Februari lalu, Liverpool menguasai tempat ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL), sembilan mata di belakang juara, Manchester City, dan tujuh mata di belakang Arsenal.

Pengurus dari Belanda itu optimis kelab barunya tersebut mampu kembali mencabar kejuaraan dalam kempen pertamanya sebagai pengurus dan berharap dapat meneruskan tugasan cemerlang yang telah direncanakan Klopp pada 2015.

"Saya rasa 82 mata adalah keputusan yang terhasil daripada gaya permainan. Setiap mata yang anda perolehi sentiasa berpunca daripada corak permainan anda sendiri," kata Slot dalam wawancara pertamanya dengan kelab itu.



“Saya sudah menyaksikan banyak perlawanan, saya juga sudah mengikuti banyak sesi latihan.

"Sudah tentu peminat boleh menilainya jadi mereka tahu kami mempunyai beberapa pemain yang sangat bagus. Tetapi saya juga telah memantau banyak sesi latihan dan di sinilah anda menerapkan budaya dan mereka sentiasa bekerja keras -- seperti yang peminat tonton ketika perlawanan.

“Kelab ini mempunyai pasukan dan pemain yang bagus, berjaya berada di puncak untuk tempoh yang sangat lama tetapi saya fikir pada akhirnya kita semua akan lebih suka sekiranya Liverpool meraih kedudukan lebih tinggi daripada tempat ketiga. Dan inilah cabaran yang kita hadapi ketika ini iaitu membina berdasarkan daripada sumber yang ada.

"Keyakinan ini berdasarkan sumber pemain yang saya ada dan yakin kami mampu menyuntik beberapa elemen demi memungut lebih daripada 82 mata yang diperlukan, sebagaimana Arsenal dan City untuk berakhir dengan harapan lebih tinggi berbanding pencapaian musim lalu."