EPL: Ange Postecoglou bela Son Heung-min atas insiden Piala Asia
Muzaffar Musa
Februari 17, 2024 09:41 MYT
Februari 17, 2024 09:41 MYT
Ange Postecoglou tampil mempertahankan kapten Tottenham, Son Heung-min, atas insiden yang berlaku dalam kem Korea Selatan sewaktu saingan Piala Asia lalu, yang menyebabkan penyerang itu terseliuh jari.
Negara yang diwakili Son itu tersingkir di peringkat separuh akhir selepas tewas 0-2 kepada Jordan, yang mengakibatkan ketua jurulatih, Jurgen Klinsmann, dipecat semalam.
Laporan minggu lalu berkata Son mengalami kecederaan jari berkenaan sehari sebelum mereka ditunjukkan jalan keluar, di mana dia berkelahi dengan seorang pemain lebih muda dalam skuad Korea Selatan, yang dilaporkan mahu meninggalkan makan malam pasukan itu lebih awal kerana mahu bermain ping pong.
Son kembali mewakili kelabnya hujung minggu lalu dan dia dimasukkan dari bangku pemain simpanan sebelum memainkan peranan penting dalam kemenangan 2-1 ke atas Brighton, di mana jari-jari di tangan kanannya kelihatan berbalut.
"Daripada apa yang saya tahu mengenai insiden itu --saya tidak banyak bertanyakan kepadanya mengenainya -- ia hanya Sonny menjadi Sonny. Menjadi seorang pemimpin dan apabila anda seorang pemimpin, adakala anda perlu berkata dengan tegas," kata Postecoglou.
"Itulah kepimpinan. Kepimpinan bukan hanya untuk menjadi popular dan menjadikan semua orang gembira. Ia tentang apabila anda melihat sesuatu yang tidak betul, anda perlu memperbetulkannya kerana ia yang terbaik buat pasukan. Saya nampak perkara itu dalam diri Sonny."