EPL: Amat istimewa ada Van Nistelrooy sebagai jurulatih di Manchester United, kata Zirkzee
Muzaffar Musa
Julai 18, 2024 08:23 MYT
Julai 18, 2024 08:23 MYT
Joshua Zirkzee berasakan memiliki seorang jurulatih dari Belanda dalam musim pertamanya di Manchester United sebagai satu kelebihan dan beranggapan keberadaan Ruud van Nistelrooy di dalam pasukan itu akan dapat memberikannya tunjuk ajar berguna.
Zirkzee menyertai United minggu lalu selepas menandatangani kontrak bernilai £35 juta (RM212 juta) dari kelab Serie A, Bologna.
Pemain Belanda berusia 23 tahun itu menjaringkan 11 gol dalam saingan musim lalu dan membantu Bologna layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Dan Zirkzee berasakan memiliki rakan senegara seperti pengurus, Eric ten Hag, dan penyerang legenda United, Van Nistelrooy, di bahagian kejurulatihan, akan mendatangkan banyak kelebihan buat dirinya dalam usaha untuk membiasakan diri dengan kehidupan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Manchester United kelab yang amat hebat dan besar, jadi ia akan menjadi lebih keistimewaan dan kelebihan buat saya," katanya dalam temu bual bersama saluran media kelab itu.
"Memiliki beberapa orang warga Belanda di sini amat jelas dapat menjadikan segalanya lebih mudah tetapi sejujurnya, saya memang seorang yang mudah didampingi. Saya tidak begitu sukar untuk menyesuaikan diri.
"Sudah pasti sewaktu masih kecil, saya menonton skuad kebangsaan Belanda, Manchester United, menonton Van Nistelrooy beraksi.
"Dia antara pemain yang anda mahu menjadi sepertinya ketika anda bermain bersama rakan anda.
"Jadi, untuk memilikinya di sini, ia amat jelas sesuatu yang istimewa, ia hebat," katanya.