EPL

Enzo Maresca: Kekalahan Chelsea kepada Fulham bukan peluang yang disia-siakan

Aleqha Zainal 27/12/2024 | 08:23 MYT
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca, menegaskan bahawa kekalahan saat-saat akhir Chelsea kepada Fulham bukanlah peluang yang disia-siakan, walaupun mereka kehilangan peluang untuk mengejar Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
The Blues dikejutkan oleh dua jaringan lewat Fulham apabila pemain gantian, Harry Wilson dan Rodrigo Muniz, meledak gol untuk membatalkan jaringan separuh masa pertama Cole Palmer, sekali gus memberikan kemenangan 2-1 kepada Fulham.
Jaringan Muniz pada minit ke-95 itu menjadi gol kemenangan paling lewat yang Chelsea bolosi dalam EPL sejak Pedro Neto untuk Wolves pada Disember 2020. Ia juga kali pertama Chelsea melepaskan gol kemenangan pada minit ke-90 di tempat sendiri dalam saingan liga sejak Februari 2003.
Tambahan pula, ini merupakan kali pertama sejak Oktober 1999 yang menyaksikan Chelsea tewas dalam perlawanan EPL selepas mendahului seawal minit ke-82, apabila tewas 2-3 kepada Arsenal.
Chelsea sepatutnya merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Liverpool, kepada satu mata tetapi kekalahan ini meletakkan mereka empat mata di belakang. Maresca mengakui terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil selepas rekod tanpa kalah mereka itu berakhir.
"Pada 10-15 minit pertama separuh masa kedua, kami membiarkan terlalu banyak serangan balas.Kami sepatutnya mampu mengawal separuh masa kedua dengan lebih baik.
"Saya rasa perlawanan berada dalam kawalan kami tetapi malangnya, kami bolos pada minit-minit terakhir.
"Kami membenarkan terlalu banyak serangan balas dalam babak kedua dan mereka sangat berbahaya dalam situasi itu.
"Ini adalah perlawanan yang memberi kami banyak perkara untuk dipelajari. Kami perlu menguruskan perlawanan dengan lebih baik."
#EPL
;