Skip to main content

Bola Sepak

England perlu belajar -- Kane kecewa selepas tewas di tangan Perancis

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

14617harrykane.jpg
PERANCIS 3 ENGLAND 2

Harry Kane berikrar England akan menyelidiki bagaimana mereka gagal menewaskan Perancis yang beraksi dengan 10 pemain apabila skuad Gareth Southgate itu tewas 3-2 di Stade de France dalam perlawanan persahabatan, awal pagi tadi.


Penyerang Tottenham yang juga kapten skuad Three Lions itu menjaringkan gol pembukaan pada awal perlawanan sebelum dibalas gol Samuel Umtiti dan Djibril Sidibe.

Selepas itu, Kane menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan setelah kad merah dilayangkan kepada Raphael Varane kerana menjatuhkan Dele Alli.

Tetapi England gagal menggandakan jaringan, sebaliknya tewas kepada gol Ousmane Dembele yang membuatkan Kane kecewa.

"Ya, pasti (terlepas peluang untuk menang) -- jelas menjaringkan dua gol di luar, di Perancis sepatutnya sudah cukup," katanya kepada ITV.

"Kami mesti mencari jalan untuk menang, terutama apabila mereka bermain dengan 10 orang. Saya tidak fikir kami tidak cukup baik, kami perlu mencari sebab mengapa."

Mengenai gol  ketiga Perancis yang hadir hasil daripada kesilapan Eric Dier, Kane berkata: "Itulah cara kami bermain.

"Jika kami mahu menjadi berani, kadang-kadang kesilapan seperti itu akan berlaku. Ia perkara yang kami perlu tingkatkan. Dier seorang pemain yang hebat, hantarannya telah dipintas dan ia sesuatu yang malang.

"Ia mengecewakan, bangkit semula dengan 2-2 dan mereka bermain dengan 10 orang, kami tidak meningkatkan gear, mereka mendapat semangat. Tetapi, ya, tidak cukup baik."

Advertisement

Must Watch Video