Skip to main content

Bola Sepak

England kini sebuah pasukan -- Rashford

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

marcusrashford-cropped_dujclzo61kry1f7ofj2uuixck.jpg
Pemain England, Marcus Rashford, menegaskan pasukannya kini semakin tenang dan bersatu bagi menghadapi saingan Piala Dunia 2018 walaupun aksi di Russia merupakan penampilan pertamanya di pentas terbesar itu.

Rashford mula menarik perhatian Roy Hodgson bagi menghadapi Euro 2016 beberapa bulan selepas menampilkan aksi cemerlang bersama Manchester United.

Bagaimanapun, impiannya bertukar menjadi mimpi ngeri selepas disingkirkan oleh Iceland ketika peringkat pusingan kedua dua tahun lalu walaupun Rashford masuk selaku pemain gantian yang memberikan impak kepada rentak England pada waktu itu.

Kini, di bawah kendalian Gareth Southgate, England dilihat lebih berkeyakinan, lebih-lebih lagi selepas mengutip tiga mata susulan kejayaan menundukkan Tunisia 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan G, Isnin lalu.

"Situasi dalam pasukan kini lebih tenang berbanding jika saya mengenang kembali keadaan pada dua tahun lalu," kata Rashford.

"Tempoh kami bersama dalam pasukan masih baru dan hubungan yang baik dapat dibentuk. Sekarang, kami benar-benar sebuah pasukan.

"Ia menjadikan kami berada dalam keadaan terbaik untuk kejohanan ini dan yang akan datang."

Dalam masa sama, Rashford juga yakin kemampuan barisan pemain England ketika sesi latihan juga membolehkan mereka tidak hanya bergantung kepada ketajaman Harry Kane walaupun dua gol penyerang itu memberikan kemenangan buat mereka sebelum ini.

"Kami menyedarinya tetapi seperti yang orang ramai saksikan, kami masih berada jauh berbanding apa yang telah kami raih ketika latihan.

"Walaupun sekiranya kami seri dalam aksi sebelum ini, kami tetap tenang kerana perlawanan seterusnya adalah peluang untuk kami bekerjasama dan mendapatkan tiga mata.

"Pemikiran itu harus kekal kerana anda tidak akan memenangi setiap aksi. Jika kalah atau seri, anda harus belajar daripadanya. Sebagai satu pasukan, kami mampu melakukannya," tambah Rashford.
 

Advertisement

Must Watch Video