Endrick enggan dibayangi Pele
Shaiful Shamsudin
April 6, 2023 08:35 MYT
April 6, 2023 08:35 MYT
Penyerang Brazil, Endrick, menolak dibandingkan dengan Pele selain mengkritik cerita negatif yang telah diterbitkan mengenainya.
Real Madrid mengesahkan perjanjian untuk menandatangani pemain berusia 16 tahun itu daripada Palmeiras pada Disember lalu dengan perpindahan ke LaLiga akan dilengkapkan pada Julai 2024 sebaik dia mencapai usia 18 tahun.
Prestasi Endrick mula merosot sebaik perpindahannya ke Santiago Bernabeu diumumkan apabila sekadar menyumbangkan satu gol dalam 13 penampilan, malah mutu persembahannya kian tenggelam sejak menjadi perhatian media.
"Kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri: Mengapa timbul banyak cerita tentang saya? Saya tidak meminta semua ini. Terdapat situasi yang melangkaui batas," katanya kepada GQ.
?? @endrickii pic.twitter.com/UP3zlhxyB0
— Real Madrid C.F. (@realmadrid) December 15, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"'Ah, dia jelmaan Pele.' Hakikatnya, tiada siapa yang mampu menggantikan Pele, dia adalah raja bola sepak.
"Tetapi tiada apa yang boleh saya lakukan, saya tidak boleh menyekat orang ramai daripada bercakap tentang kehidupan saya.
"Saya sering mengatakan bahawa saya mahukan semua rakyat Brazil rapat dengan saya tetapi saya semakin faham bahawa ia adalah mustahil. Akan sentiasa ada orang yang mahu menyerang saya."
Endrick juga mengkritik cerita tidak berasas tentang dirinya apabila menambah: "Saya pernah mengambil pusing tentang apa yang diperkatakan orang ramai terhadap saya. Tetapi sekarang tidak lagi.
"Saya suka TikTok tetapi apabila saya melihat sesuatu tentang diri sendiri, saya, saya segera mengalihkannya.
"Baru-baru ini keluar satu cerita yang mengatakan saya sedang menjalani terapi, namun itu satu pembohongan. Akhbar tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan mereka menyiarkanya.
"Tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa. Jika saya keluar dan menyanggah semua yang mereka katakan maka saya hanya akan membuang masa."