Skip to main content

Bola Sepak

Enam pemain musim lalu dikekalkan Perak II

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

abu-bakar-fadzim.jpg
Enam pemain musim lalu dikekalkan bagi memperkasakan pasukan Perak II dalam Liga Perdana 2020 bermula bulan depan. 

Permain berkenaan ialah Ahmad Shukri Hamid, Khairul Asyraf Shahizah, Shafiq Afifi Suhaimi, Hamizul Izaidi Zulkifli, Muhammad Rizal Che Aziz dan Al Fateh Afandi, yang menjadi tonggak PKNP FC musim lalu. 

Ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim, berkata pemilihan berkenaan bertujuan untuk mengimbangi pasukan itu yang akan dibarisi ramai pemain muda. 

"Mereka akan menjadi rakan pembimbing kepada pemain muda skuad ini. 

"Majoritinya adalah anak jati Perak," katanya. 

Abu Bakar juga mendedahkan bahawa pasukan bimbingannya itu memiliki misi serampang dua mata. 

Selain berhasrat untuk membekalkan pemain muda berkualiti kepada skuad utama, Liga Perdana 2020 juga dilihat sebagai medan terbaik untuk menyediakan pasukan dalam usaha mengekalkan pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali keempat berturut-turut. 

"Ini adalah pasukan yang baru.

"Kami akan mendapatkan persefahaman di antara bekas pemain Liga Super Perak, skuad juara SUKMA 2018, pasukan Piala Presiden PKNP FC dan Perak.

"Bagi saya, ini adalah pentas untuk kami mengambil cabaran ini kerana kami mempunyai dua persiapan.

"Saya harap peluang ini dapat dimanfaatkan dengan baik oleh emain Perak II," tambahnya.

SUKMA ke-20 akan berlangsung di Johor Bahru tahun ini.


Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video