Emery gembira di Villareal di sebalik minat Newcastle
Shaiful Shamsudin
November 3, 2021 10:18 MYT
November 3, 2021 10:18 MYT
Unai Emery memaklumkan bahawa dia sedang menikmati kehidupan di Villarreal selepas dia dikaitkan dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United.
Bekas pengurus Arsenal dan Paris Saint-Germain (PSG) itu dikatakan menjadi sasaran utama Newcastle -- yang kini dikuasai konglomerat Arab Saudi -- bagi menggantikan Steve Bruce.
13 - Steve Bruce's departure marks the 13th time that a Newcastle manager has departed the club during an ongoing Premier League campaign. It's the most in-season departures for any club in the competition. Chaos. pic.twitter.com/wIQFb32dnQ
— OptaJoe (@OptaJoe) October 20, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Menurut laporan di England, Emery dan bekas pengurus Bournemouth, Eddie Howe, dipertimbangkan untuk memegang jawatan di St James' Park dan kelab itu dikatakan berhasrat melantik Emery menjelang perlawanan menentang Brighton & Hove Albion, awal pagi Ahad ini.
Sama ada Emery tertarik untuk kembali ke EPL masih belum dapat dipastikan selepas dia mengharungi tempoh sukar bersama Arsenal.
Malah, dia akan mewarisi pasukan yang berdepan penyingkiran biarpun mempunyai dana yang besar untuk berbelanja pada Januari depan.
Villarreal akan menghadapi perlawanan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Young Boys di tempat sendiri awal pagi esok, lantas masa depan Emery di kelab Sepanyol itu tiba-tiba diragui.
Begitupun, menurut Presiden Villarreal, Fernando Roig, pengurus berusia 50 tahun itu masih selesa dengan kedudukannya sekarang,
Roig memberitahu penyiar Sepanyol, A Punt Media: "Emery sangat gembira di Villarreal dan terikat dengan kontraknya."
Presiden itu, bagaimanapun, mengakui sebarang keputusan bukan terletak di tangan Villarreal sekiranya Newcastle bersedia membayar klausa pelepasannya.
Emery apabila ditanya mengenai kaitannya dengan Newcastle kemudian mengulas: "Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa."
Bruce adalah mangsa awal rejim baru kelab itu yang kini memburu nama besar untuk mengemudi mereka ke era baru.
Emery memenangi tiga kejuaraan Liga Europa berturut-turut bersama Sevilla sebelum mencari angin baru pada 2016 apabila menghabiskan dua tahun di PSG yang menyaksikannya terus mengumpul trofi.
Namun, dia gagal mengulaangi pencapaiannya itu di Arsenal sejak dilantik untuk mengambil alih tugas daripada Arsene Wenger pada 2018 sebelum dipecat selepas 18 bulan.
Dia kemudian memutuskan untuk kembali ke Sepanyol dengan menerajui Villarreal dan membantu kelab Sepanyol itu meraih kejuaraan Liga Europa musim lalu dengan menewaskan Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun, Villarreal hanya menang dua daripada 11 perlawanan pembukaan LaLiga musim ini apabila seri enam kali dan kalah tiga perlawanan untuk menduduki tangga ke-13.