West Ham menyempurnakan pembelian pertahanan, Emerson Palmieri, daripada Chelsea dengan bayaran dalam lingkungan £15 juta (RM79.5j).

Pemain antarabangsa Itali itu telah menandatangani kontrak empat tahun bersama The Hammers dengan pilihan menyambungnya 12 bulan lagi selain akan memakai jersi nombor 33 di Stadium London.

Emerson menjadi muka baru ketujuh yang dipancing David Moyes dalam jendela perpindahan selepas ketibaan Nayef Aguerd, Alphonse Areola, Flynn Downes, Gianluca Scamacca, Maxwel Cornet dan Thilo Kehrer.

Pemain berusia 28 tahun itu bergelut untuk merebut tempatnya dalam kesebelasan utama The Blues sejak dibeli daripada Roma pada Januari 2018 dan menghabiskan musim lalu secara pinjaman di kelab Ligue 1, Lyon.

Begitupun, bek kiri itu menawarkan pengalaman luas kepada barisan West Ham, lebih-lebih lagi memainkan peranan penting dalam kemenangan final Euro 2020 ke atas England tahun lalu.

"Saya sangat gembira berada di sini dan tiba di sini. Ia satu cabaran besar untuk saya, ini adalah pasukan yang besar jadi saya sangat gembira berada di sini dan saya sudah bersedia," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab.

Menurut Moyes pula: "Kami sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan Emerson ke West Ham United.

“Dia merupakan pemain berpengalaman yang baik, yang pernah menikmati kejayaan besar di peringkat kelab dan antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dia akan memberikan kami persaingan yang kuat di bahagian pertahanan dan membawa mentaliti kemenangan yang kami mahu bina di West Ham."

West Ham memulakan kempen liga mereka dengan tiga kekalahan dan tiada gol yang dijaringkan mereka buat kali pertama sejak 1971-72.