Emas Anuar STL: Presiden PSM sifatkan edisi 2024 penganjuran terbaik
Shaiful Shamsudin
November 7, 2024 17:52 MYT
November 7, 2024 17:52 MYT
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, menganggap Kejohanan Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) yang melewati sedekad tahun ini sebagai penganjuran terbaik.
Perubahan format pertandingan yang dijalankan menerusi format grand prix (GP) di lima buah negeri iaitu Selangor, Terengganu, Perak, Pulau Pinang serta Johor menambahkan lagi keterujaan bukan sahaja kepada setiap pasukan bertanding, malah kepada penyokong setia sukan sepak takraw tempatan.
Sumali turut percaya saingan STL Champions Cup 2024 yang bakal membuka tirai di Serdang, Rabu depan, mampu menarik lebih ramai kehadiran penyokong ditambah pula dengan penglibatan empat kelab luar negara dari Thailand, Singapura, Indonesia serta India.
"Alhamdulillah penganjuran STL yang memasuki edisi ke-10 lebih meriah disebabkan ada peringkat kalah mati dalam grand prix.
"Memang ada suara yang mohon agar (format) liga dikembalikan dan ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSAM supaya boleh diperhalusi untuk penambahbaikan STL pada tahun depan," katanya Nadi Arena.
Dalam perkembangan sama, dia turut mengesahkan PSM akan mengadakan sesi bedah siasat bagi mengenal pasti kelemahan demi penambahbaikan kejohanan STL pada tahun depan termasuklah isu mutu pengadilan.
"Disebabkan satu kontroversi, kita tidak perlu jatuhkan bahawa ia satu hukuman yang teruk.
"Mungkin kontroversi itu (berpunca daripada) salah faham daripada segi undang-undang (teknikal).
"Kami akan buat bedah siasat juga daripada segi mutu pengadil dan kelemahan (penganjuran) demi kebaikan STL akan datang," katanya lagi.