Eksklusif: Biar kaki saya berbicara -- Kobe Chong sedia buktikan liga divisyen enam England bukan 'cap ayam'

Muzaffar Musa
Jun 19, 2024 21:36 MYT
Saya biarkan kaki saya berbicara, kata pemain berstatus warisan negara, Kobe Chong, yang menegaskan saingan liga divisyen enam di England bukan 'cap ayam'.
Selain itu, pemain berusia 22 tahun berkenaan juga mahu membuktikan dirinya layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya jika diberikan peluang.
Dalam satu wawancara eksklusif bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain berdarah Malaysia-Jamaica itu juga mendedahkan kehadirannya ke Kuala Lumpur adalah untuk melakukan rundingan dengan beberapa kelab Liga Super.
"Sebab saya berada di Malaysia adalah kerana saya mahu melawat saudara-mara dan rakan saya yang berada di sini selain turut melakukan rundingan dengan beberapa kelab Liga Super Malaysia.
"Saya juga mahu menikmati suasana Malaysia di Kuala Lumpur. Sudah ada beberapa kelab yang menghubungi saya, jadi saya akan berhubung kembali dengan mereka.
"Jika ada kesepakatan, saya mungkin kekal berada di sini tetapi buat masa ini, masih terlalu awal untuk memperkatakannya."
Mengulas mengenai kritikan terhadap kedatangannya dalam kancah bola sepak tempatan, Kobe menambah: "Saya tahu kebanyakan orang Malaysia hanya mengiktiraf Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Datang dari luar negara dengan liga di tahap yang pernah disertai Darren Lok (penyerang negara), bagi kami, ia demi masa depan jangka panjang dalam bola sepak, terutama di Asia atau di Malaysia, yang mana kami memiliki warisan mereka.
"Ia peluang yang baik untuk kami mengembangkan karier kami. Melainkan kami dapat beraksi dalam EPL atau Liga Kejuaraan, ini adalah peluang terbaik kami dan sudah tentu peluang untuk mewakili skuad kebangsaan merupakan sesuatu yang dapat mengubah nasib kami.
"Liga yang saya jalani kini amat kompetitif. Saya akan biarkan kaki saya berbicara, jadi apabila penyokong, jurulatih atau stafnya melihat permainan saya, mereka dapat menilainya sendiri.
"Darren dan Lee Tuck datang daripada tempat di mana saya berada dan mereka dapat mewakili skuad kebangsaan, jadi saya tidak dapat lihat mengapa saya tidak dapat melakukannya. Saya masih muda dan bermain untuk kelab profesional," katanya.
#bola sepak #Harimau Malaya #Kobe Chong
;