Ederson dedah ada kemungkinan besar Carlo Ancelotti latih Brazil

Shaiful Shamsudin
Mac 23, 2023 09:06 MYT
Ederson percaya ada "kemungkinan besar" Carlo Ancelotti akan mengambil alih peranan sebagai ketua jurulatih Brazil yang berikutnya.
Pengurus Real Madrid itu disebut-sebut sebagai pengganti Tite yang meletak jawatan seperti yang dirancang selepas kekalahan Brazil dalam suku akhir Piala Dunia 2022 kepada Croatia.
Ancelotti masih mempunyai kontrak dengan Madrid hingga akhir musim depan, manakala Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) bulan lalu menafikan perjanjian telah dicapai dengan pengurus berbangsa Itali itu.
Bagaimanapun, bercakap dalam sidang media menjelang perlawanan persahabatan semi-finalis Piala Dunia 2022, Maghribi, Ederson berkata dia tidak akan terkejut sekiranya melihat Ancelotti datang menyahut cabaran ini.
"Saya pernah membincangkan perkara ini dengan Casemiro, Vinicius Junior, Eder Militao. Ada kemungkinan besar dia ke mari," kata penjaga gol Manchester City itu,
Ancelotti telah memenangi 25 trofi sepanjang karier pengurusannya selama 28 tahun, termasuk empat gelaran Liga Juara-Juara (UCL), dua untuk Milan dan dua dalam tempoh berasingan bersama Madrid.
"Lihat sahaja pencapaiannya. Kami akan tahu tidak lama lagi sama ada dia akan berada di sini atau tidak," katanya lagi.
“Saya harap kami dapat melantik jurulatih baru dengan segera.
"Saya juga berasa gusar berikutan terlalu banyak spekulasi. Adakah jurulatih Brazil atau asing yang akan dilantik?"
#Carlo Ancelotti #Brazil #Ederson
;