PIALA FA

Durakovic sedar tugas sukar di Kuantan

Penulis Jemputan 22/06/2019 | 10:21 MYT
Kecederaan tonggak pertahanan, Amirul Azhan Aznan dan Nazirul Naim Che Hashim, serta penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, tidak menghalang ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, untuk merencanakan kejutan ke atas Pahang dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.
Turun selaku pasukan bukan pilihan, pengendali dari Australia itu sekurang-kurangnya boleh berasa lega apabila pasukannya turun ke Kuantan tanpa sebarang tekanan.
Ditambah dengan beberapa pemain yang tidak cergas, pengendali itu menyedari ia bukan tugas mudah di gelanggang lawan, namun berkeyakinan anak buahnya mampu mencuri jaringan untuk dibawa ke Ipoh, minggu depan.
"Benar, kami berdepan beberapa kecederaan, namun saya perlu berdoa agar mereka cergas malam ini.
"Azhan tidak akan beraksi kerana kecederaan, jadi kami tinggalkannya di Ipoh untuk mendapatkan rawatan agar dia dapat bersedia untuk perlawanan minggu depan.
"Beberapa pemain lain mengalami sedikit kecederaan, namun kami akan melihat keadaan mereka dalam sesi latihan petang ini," katanya.
Dengan melabelkan pemain import Pahang, Lazarus Kaimbi, sebagai pemain yang lebih baik berbanding Ze Love yang disingkirkan, Durakovic menggesa pertahanannya untuk mengekang penyerang berkenaan.
Dengan kepulangan Dickson Nwakaeme yang baru pulih daripada kecederan paha, Perak perlu mengatasi segala percaturan Pahang yang sudah pasti mahu memburu jaringan awal.
"Mereka memiliki pemain yang amat baik dan berpengalaman.
"Kami mengenali mereka dan kami tahu apa yang mampu dilakukan mereka.
"Ia pasti bukan mudah untuk berdepan mereka, namun harap-harap pertahanan saya dapat melakukannya dengan baik.
"Kami pasukan muda yang baik.
"Kami mempunyai masa depan yang cerah bersama pemain ini.
"Saya amat gembira dengan kesemua pemain saya.
"Ia pasti bukan perlawanan mudah kerena mereka juara (bertahan) dan bermain di laman sendiri.
"Kami akan mencuba untuk mendapatkan keputusan yang baik malam ini," tambahnya.
;