Durakovic pertahan keputusan senarai empat import
Azizan Hashim
Januari 15, 2019 22:04 MYT
Januari 15, 2019 22:04 MYT
Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mempertahankan keputusannya menggunakan hanya empat pemain import dalam kempen bola sepak domestik dan antarabangsa musim ini.
Ia berikutan gesaan kuat peminat The Bos Gaurus yang mahu pasukan itu melengkapkan kouta importnya.
Juara Piala Malaysia 2018 itu mengekalkan tiga pemain Brazil, Gilmar Jose Da Silva Filho, Leandro Dos Santos dan Wunder Luiz Biten Court Junior selain turut mengikat pertahanan kelahiran Australia, Zac Anderson.
Perak mempunyai satu kekosongan pemain import kouta Asean tetapi Durakovic enggan melengkapkan kuota itu.
Bagi jurulatih kelahiran Australia itu, kekosongan itu dapat dimanfaatkan untuk mengetengahkan pemain muda tempatan.
"Apa guna mengambil pemain import jika keupayaan mereka lebih kurang dengan pemain tempatan.
"Lebih baik saya berikan peluang itu kepada pemain muda.
"Perak mendaftarkan lima pemain import musim lalu, namun hanya tiga yang berkesan.
"Saya mengambil peluang untuk menurunkan pemain muda, Firdaus Saiyadi, dan dia berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.
"Saya tidak nampak pemain import kouta Asean yang berwibawa untuk didaftarkan setakat ini," katanya.
The Bos Gaurus mendapat khidmat pemain kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, dan J. Partiban bagi memperkasakan jentera serangan pasukan itu musim ini.