LIGA SUPER MSIA

Durakovic elak julang pemain tertentu

Penulis Jemputan 06/07/2017 | 04:23 MYT
Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, tidak menganggap keberkesanan Zaquan Adha Abdul Razak menjadi punca kejayaan The Bos Gaurus meraih tiga mata penting ke atas PKNS FC dalam saingan Piala Malaysia, kelmarin.
Walaupun dimasukkan pada 20 minit terakhir permainan, Zaquan pantas mengubah situasi ketika tuan rumah buntu memburu jaringan walaupun memiliki deretan peluang pada babak pertama selain turut mendominasi permainan pada 45 minit terakhir.
Kemasukan Zaquan yang ditukarkan dengan Nasir Basharudin pada minit ke-69 menjadi titik kebangkitan sebenar Perak.
Dua jaringan Perak yang disempurnakan Thiago Junior dan Gilmar da Silva merupakan hantaran sempurna Zaquan yang menemui sasaran.
Begitupun, Durakovic memiliki pendapat tersendiri berkait kemenangan pasukannya ke atas PKNS dengan berkata, "Semua pemain boleh membuat sumbangan.
"Memang benar dia membuat hantaran tepat tetapi ia adalah usaha berpasukan.
"Oleh itu, saya gembira dengan semua pemain saya."
Dalam pada itu, Gilmar mengakui terkilan kerana gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang sehingga menyebabkan Perak terpaksa menunggu sehingga minit ke-70 untuk memimpin permainan.
"Saya sangat gembira dengan jaringan saya. Namun, saya harap dapat menyumbat gol.
"Bagaimanapun, kami terus berusaha sepanjang 90 minit permainan. Anda boleh lihat kami tidak berhenti berlari," katanya.
;