Skip to main content

Bola Sepak

Dortmund harus buktikan mampu hadapi tekanan, kata Van Buyten

dortmundcelebratecropped_19781hrvhldtu1g976ptznerz3.jpg
Daniel Van Buyten percaya Borussia Dortmund masih perlu membuktikan mereka pencabar utama kejuaraan Bundesliga meskipun telah memperkuatkan pasukan.

Selepas melalui jendela perpindahan yang sibuk, termasuk kepulangan Mats Hummels daripada Bayern Munich, Dortmund dijangka memberi saingan sengit buat juara bertahan itu bagi saingan 2019-20.

Thorgan Hazard, Julian Brandt dan Nico Schulz turut hadir untuk menambah kekuatan pasukan kendalian Lucien Favre itu tatkala Van Buyten teruja dengan persembahan mereka sewaktu mengikat Barcelona 0-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, minggu lalu.

Namun, tatkala dia menjangkakan mereka akan sekali lagi mencabar Bayern selepas bergelar naib juara musim lalu, bekas pemain Belgium itu mahu melihat sama ada BVB memiliki keupayaan skuad sebenar untuk bersaing.

“Borussia Dortmund melalui jendela perpindahan yang bagus dan mereka pasukan yang baik di atas padang,” katanya.

“Mereka tentunya akan menjadi pasukan yang mencabar kejuaraan Bundesliga sehingga penghujung musim. Namun, masih ada beberapa pasukan yang turut mencabar.

“Menentang Barca, mereka turut menunjukkan bahawa mereka boleh beraksi dengan baik dalam saingan itu tetapi mereka perlu mempamerkannya apabila beraksi di Barcelona nanti.

“Seperti saya katakan, ketika ini segalanya nampak baik tetapi anda harus lihat perkembangannya.

“Jika terdapat kecederaan atau masalah kesihatan, anda perlu buktikan skuad tetap ada dan pemain lain tetap boleh berjaya.”

Bayern turut memperkuatkan pasukan apabila membawa masuk Philippe Coutinho menerusi pinjaman jangka panjang daripada Barcelona dan bintang Brazil itu menyumbat gol pertama sewaktu menewaskan Cologne 4-0, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Van Buyten memberi amaran buat bekas kelabnya agar tidak meletakkan harapan tinggi kepada Coutinho dan segala kejayaaan dalam Liga Juara-Juara bergantung kepada kerjasama sepasukan berbanding kekuatan individu.

“Bagi saya, sentiasa harus bekerjasama dalam satu pasukan. Anda memiliki pemain hebat seperti Robert Lewandowski serta nama lain tetapi tidak boleh mengharapkan kehadiran pemain seperti Coutinho dengan keajaiban,” tambahnya.

“Bekerjasama dan anda akan sentiasa meraih persembahan terbaik. Tidak kira siapa lawan yang dihadapi pada hujung minggu, proses tetap sama. Jika anda fikir ia mudah, ia sesuatu yang negatif.

“Ia tentang mentaliti anda dan sewaktu saya bergelar pemain, saya sangat tahu bahawa kami memiliki ramai pemain dengan perwatakan yang sentiasa fokus untuk memenangi kejuaraan liga dan melangkah jauh dalam Liga Juara-Juara.

"Semua pencabar dalam Liga Juara-Juara adalah pasukan hebat dan tidak mudah untuk anda melangkah ke sana. Bayern sememangnya memerlukan pasukan di tahap tertinggi."
 

Advertisement

Must Watch Video