BOLA SEPAK

Dortmund akan cari bakat baru jika Haaland berhijrah

Ammar Hakim 31/03/2022 | 00:27 MYT
Manchester City masih belum membuat pendekatan untuk Erling Haaland, walaupun ketua eksekutif Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke tahu bahawa sebarang tawaran yang dibuat oleh juara Liga Perdana itu tidak akan dapat ditandingi untuk kelab Bundesliga itu.
Haaland dilaporkan menjadi sasaran utama City menjelang musim depan, kerana Pep Guardiola dilihat akan membawa masuk penyerang kelas elit.
Pemain berusia 21 tahun itu mengharungi musim yang kurang baik bersama Dortmund kerana kecederaan, tetapi masih menjaringkan 23 kali, dengan purata gol setiap 77 minit dalam semua pertandingan.
Haaland telah menjadi sensasi sejak menandatangani kontrak dengan Dortmund pada pertengahan musim 2019-20, walaupun nampaknya akan meninggalkan kelab itu pada penghujung kempen apabila klausa pembelian EURO75 juta dalam kontraknya dilaporkan bermula.
City, bersama-sama dengan Barcelona, Real Madrid dan Paris Saint-Germain, telah banyak dikaitkan. Watzke bagaimanapun menegaskan belum ada pendekatan rasmi dibuat oleh mana-mana kelab.
Bagaimanapun, ketua eksekutif Dortmund tidak berkhayal bahawa kelab itu tidak akan dapat bersaing daripada segi kewangan sekiranya City membuat tawaran. Namun dia yakin model pelaburan BVB dalam bakat baharu selepas kehilangan pemain bintang akan terus membuahkan hasil.
Bercakap kepada Sport Bild, Watzke berkata: "Saya sudah berputus asa menilai khabar angin media. Jika tidak, hari saya perlu mempunyai 36 jam.
“Erling Haaland nampaknya bersedia untuk meninggalkan Borussia Dortmund pada penghujung musim.
"Kami pada masa ini tidak mengetahui apa-apa yang spesifik dari pihak pemain, dan tiada sesiapa pun yang mendekati kami. Bagaimanapun, kami tidak dapat menandingi kewangan Manchester City jika mereka datang [untuk Haaland].
“Kami telah melihatnya beberapa kali: kami kehilangan [Robert] Lewandowski kepada Bayern pada 2014 dan [Pierre-Emerick] Aubameyang kepada Arsenal pada 2018.
"Kami sentiasa mencipta bintang baharu. Jika Haaland pergi, kami akan mencari bakat baharu yang lain dan mengembangkannya menjadi bintang, dan itu juga akan membawa kebaikan kepada Bundesliga."
;