Pemain import kelahiran Korea Selatan, Do Dong-hyun, berjanji mahu menggembirakan penyokong The Red Warriors (TRW) dengan menjaringkan lebih banyak gol dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Bekas pemain kelab UiTM FC itu juga berazam ingin mengatasi jumlah 13 jaringan yang dicipta semasa mewakil kelab Liga Perdana itu musim lalu.
“Saya menjaringkan 13 gol dalam 22 perlawanan bersama UiTM FC musim lalu dan berharap sentuhan itu terus menjadi untuk pasukan Kelantan musim ini.
“Saya mengharapkan bantuan rakan sepasukan bagi menjayakan misi ini dan mahu memastikan Kelantan dapat mengecapi banyak kemenangan dalam musim yang mencabar ini,” katanya.
Ditanya mengapa memilih untuk beraksi dengan pasukan Kelantan dan menolak tawaran pasukan lain, Dong-hyun menjelaskan faktor saingan sengit dan kepuasan beraksi dalam Liga Super menjadi alasan utama.
“Saya mahu beraksi dalam Liga Super bersama pasukan Kelantan yang terkenal dengan sejarah kejayaannya dalam Liga M. Saya juga teruja dengan sokongan padu penyokong TRW,” katanya.
Dong-hyun juga yakin tidak akan tertekan dengan harapan tinggi yang diletakkan penyokong fanatik TRW, sebaliknya mengakui itulah realiti yang terpaksa dihadapi oleh pemain import.
“Saya mempunyai pengalaman beraksi bersama Kelab East Bengal dalam Liga India yang juga mempunyai penyokong fanatiknya. Saya yakin dapat mengatasinya dan harap penyokong terus memberikan sokongan yang jitu kepada TRW musim ini,” katanya.
Farizal Yusoff
Thu Jan 04 2018