Dollah mahu lengkapkan kuota import Pahang
Penulis Jemputan
Januari 15, 2019 19:54 MYT
Januari 15, 2019 19:54 MYT
Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, memberi bayangan untuk memenuhi kuota pemain import pasukan itu selepas pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, sah memegang status pemain tempatan berkuatkuasa semalam.
Pahang sebelum ini dalam dilema untuk mengambil pemain import disebabkan status Sumareh yang masih samar.
Pemain sayap itu dikatakan hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan Mac depan, sekali gus memaksanya mengisi kuota pemain import dalam jendela perpindahan pertama.
Bagaimanapun, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meluluskan permohonan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan dan membolehkan Dollah melengkapkan kuota lima pemain import musim ini.
"Alhamdulillah, saya lega kerana Sumareh kini sah menjadi pemain tempatan.
"Sebelum ini, dia sendiri gusar dengan status dirinya.
"Selepas pengumuman itu semalam, dia kembali ceria dan kelihatan gembira.
"Dia kini sudah boleh kembali fokus kepada persediaannya," katanya.
Juara Piala FA 2018 itu sudah mempunyai dua pemain import, iaitu Safuwan Baharudin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia).
Tiga calon lagi sudah dikenal pasti untuk memperkuatkan Pahang, antaranya dari Perancis, Brazil serta pemain dari benua Afrika.