Doa buat Khalid Ali

Shaiful Shamsudin
April 2, 2023 20:19 MYT
Dulunya sang legenda bola sepak tanah air ini antara wira yang membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, tetapi beliau kini berdepan dengan ujian paling besar dalam hidupnya.
Khalid Ali Hassan disahkan menghidap barah
paru-paru dan bukan itu saja, dia kini menanti penuh debar apakah kanser yang dihidapinya sudah melepasi tahap kritikal.
Kanser itu dikesan selepas Khalid mula mengalami gejala batuk tanpa henti sebelum mengatur pertemuan dengan pakar perubatan bagi memastikan tiada yang serius.
Namun, tanpa diduga doktor membawa perkhabaran yang meruntun jiwanya apabila dia disahkan mengidap barah paru-paru selepas melalui proses pengesanan awal.
Khalid tidak mampu memberikan reaksi dan hanya menerima berita ini dengan perasaan yang sangat mengejutkan.
"Penyakit ini agak serius, doktor kata saya agak kuat tapi apabila saya dengar penyakit, saya berasa lemah.
"Tapi saya akan tetap berjuang. Penyakit ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan, begitu juga semangat.
"Doktor nampak saya kuat tapi dia tidak tahu bahawa saya lemah. Yalah, penyakit yang paling ditakuti.
"Saya minta doa daripada netizen supaya Allah permudahkan penyakit ini dan berikan saya kesihatan yang baik.
"Tentang warga maya yang marahkan saya, itu soal bola sepak. Saya juga perlukan doa daripada mereka," katanya di kediamannya.
Dalam pada itu Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin, yang juga turut bersama Khalid mendapatkan pemeriksaan di hospital yakin dia mampu melalui tempoh sukar ini.
"Kami membawanya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan awal, kemudian kami mendapati paru-parunya ada ketumbuhan.
"Kami merujuknya kepada PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan sejauh manakah serius tahap penyakitnya.
"Yakeb akan membantunya daripada segi rawatannya," katanya pula.
#Harimau Malaya #DemiLigaKita #Khalid Ali
;