REAL MADRID 3 BRAGA 0

Brahim Diaz dan Andriy Lunin mencuri perhatian pengurus pasukan, Carlo Ancelotti selepas membantu Real Madrid menewaskan Braga 3-0 di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.


Tuan rumah mengatasi igauan awal permainan yang menyaksikan Alvaro Djalo gagal menyempurnakan sepakan penalti buat pelawat, juara Eropah 14 kali itu kemudian mendahului jaringan menerusi Brahim Diaz pada minit ke-27 dan mengawal keseluruhan perlawanan sepanjang separuh masa kedua apabila Vinicius Junior dan Rodrygo menambah jaringan.

Rekod tanpa kalah dalam Kumpulan C dan sembilan rentetan tanpa kalah di laman sendiri di pentas Eropah menempatkan Real di pusingan 16 berbaki dua perlawanan.

Dengan tuan rumah hanya memerlukan satu mata untuk memastikan kemaraan, Ancelotti mengambil keputusan untuk merehatkan beberapa pemain utama.



Andriy Lunin menggantikan Kepa Arrizabalaga yang tercedera dan menyelamatkan sepakan penalti, manakala Brahim Diaz menjaringkan gol pembukaan di Santiago Bernabeu.

Ancelotti yang bercakap melalui Diario AS memberikan penilaiannya terhadap kedua-dua anak buahnya tersebut.

“Brahim bermain dengan sangat baik. Dia menjaringkan gol dan satu lagi jaringan tidak dibenarkan. Dia juga melakukan tugas yang optimum secara defensif dan layak untuk diberikan kepercayaan lagi.

“Persembahan Lunin juga adalah satu lagi petanda yang baik. Kami mempunyai skuad yang baik. Ia menggembirakan kami untuk melepasi peringkat kumpulan.”