BOLA SEPAK MSIA

Di mana peranan pengarah teknikal FAM bersama skuad Malaysia B-17?

Hasnizam Uzir 24/06/2023 | 13:09 MYT
Tamat sudah perjalanan skuad Malaysia B-17 dalam pusingan akhir Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand apabila skuad kendalian Osmera Omaro itu menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan A setelah menewaskan Laos dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Pujian harus diberikan kepada pemain-pemain muda ini yang bersikap tenang walaupun ramai yang mempertikaikan kemampuan mereka, namun mereka telah buktikan dengan permainan yang lebih kemas dan banyak elemen-elemen kejutan daripada pemain-pemain muda negara.
Namun, yang menjadi persoalan penulis sebenarnya, di manakah peranan yang dimainkan pengarah teknikal FAM bersama skuad Malaysia B-17 ketika persiapan pasukan untuk ke Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand dan semasa kejohanan berlangsung?.
Sebagai orang paling bertanggungjawab dalam urusan teknikal, sepatutnya pengarah teknikal FAM memantau dengan lebih rapat persiapan skuad Malaysia B-17, terutama dalam membantu pasukan kejurulatihan memberikan info dan maklumat tentang taktikal berdasarkan kualiti pemain yang ada kerana skuad muda ini di bawah tugasan FAM semasa di Piala Asia B-17.
Tetapi daripada maklumat yang penulis terima, tidak ada langsung bantuan dan peranan dimainkan sebaliknya banyak memerhatikan sahaja.
Jika ada bantuan dan pandangan yang diberikan, penulis yakin keputusan sebaliknya akan berlaku kerana dengan pengalaman yang dimilikinya di peringkat antarabangsa, ia pasti banyak membantu.
Bukan itu sahaja, sebagai pengarah teknikal, sepatutnya beliau perlu banyak memainkan peranan memberikan pandangan dan nasihat kepada pengurusan tertinggi FAM seperti mewujudkan Liga B-16 di Malaysia supaya pemain-pemain muda ini cepat matang.
Jika semua faktor itu berlaku, tidak mustahil FAM akan berjaya mencapai matlamat dan misinya untuk melihat buat pertama kalinya Malaysia B-17 layak ke Piala Dunia.
Inilah sebabnya kegagalan skuad B-17 itu datang dari FAM sendiri setelah memilih pegawai teknikal yang tidak dapat membantu mencambahkan idea yang boleh membantu menambah baik kelemahan yang ada dalam ekosistem bola sepak Negara.
Atas faktor itu juga, FAM sepatutnya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang membantu menyediakan ekosistem bola sepak akar umbi untuk kemajuan bola sepak Malaysia.
#Persatuan Bolasepak Malaysia #Rencana #Piala Asia B-17
;