BOLA SEPAK
Di Biagio akan jadi jurulatih sementara Itali
Itali akan menawarkan peluang kepada jurulatih skuad bawah 21 tahun, Luigi Di Biagio, untuk mengendalikan pasukan senior secara sementara bagi aksi persahabatan menentang Argentina dan England bulan depan, demikian menurut Timbalan Pesuruhjaya Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Alessandro Costacurta, yang baru dilantik.
Skuad Azzurri tidak memiliki jurulatih sejak Gian Piero Ventura meninggalkan pasukan selepas kegagalannya membawa negara itu layak ke Piala Dunia.
Kekalahan kepada Sweden dalam play-off menandakan kali pertama dalam tempoh 60 tahun juara empat kali itu gagal menempatkan diri dalam Piala Dunia dan pelantikan jurulatih seterusnya menjadi rumit akibat kegagalan memilih pengganti Carlo Tavecchio sebagai Presiden FIGC.
Roberto Fabbricini, Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Itali (CONI), segera melantik pemimpin FIGC Jumaat lalu dan di bawah bimbingan Costacurta, momentum mereka telah meningkat.
"Kami akan memanggil Di Biagio dan kami akan bercakap dengannya tentang peranan sebagai jurulatih skuad kebangsaan secara sementara," kata Costacurta sambil menawarkan bekas pemain tengah Roma dan Inter Milan itu jawatan tetap jika menunjukkan prestasi baik.
"Jelas, jika dia menang perlawanan persahabatan seterusnya, kami memerlukan jurulatih lain untuk pasukan bawah 21 tahun," tambah bekas pertahanan tengah AC Milan itu.
Itali akan menghadapi Argentina di Stadium Etihad pada 23 Mac sebelum berdepan England di Wembley empat hari kemudian.
Di Biagio kurang berpengalaman dalam kejurulatihan liga utama tetapi akan diberi peluang selepas bos Chelsea, Antonio Conte, menolak pelawaan untuk kembali melatih pasukan kebangsaan itu.
"Saya boleh katakan bahawa Costacurta adalah seorang kawan. Kami bermain bersama dalam pasukan kebangsaan pada 1994 (Piala Dunia)," kata Conte dalam sidang media hari ini.
"Tetapi, mungkin dia lupa bahawa saya masih mempunyai baki 18 bulan kontrak dengan Chelsea. Niat, kehendak dan keinginan saya adalah untuk menghormati kontrak ini," katanya.