LIGA SUPER MSIA

Denda MFL: Pengajaran buat Selangor cuma hukuman terlalu keras -- pemerhati

27/06/2024 | 03:03 MYT
Keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenakan hukuman terhadap Selangor FC berikutan tidak hadir dalam perlawanan Piala Sumbangsih merebut trofi Sultan Haji Ahmad Shah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Mei lalu disifatkan tepat sebagai pengajaran.
Namun, di sebalik itu, juga timbul isu kerelevanan denda RM100,000, pemotongan tiga mata liga, ganti rugi kepada JDT selain beraksi tanpa penonton berdepan Harimau Selatan dalam aksi liga di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang disifatkan terlalu keras.
Itu reaksi penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, selepas MFL menjatuhkan hukuman terhadap juara lapan kali trofi Piala Sumbangsih kendalian Nidzam Jamil berkenaan pada Selasa lalu.
"Yang pertama, hukuman dikenakan memang wajar sebagai pengajaran kerana menarik diri pada saat akhir agar tidak hanya pasukan itu, tetapi juga pasukan lain mengulangi perkara sama pada masa depan.
"Biarpun begitu, saya juga melihat hukuman dikenakan MFL terhadap Selangor FC bukannya tidak adil sebaliknya terlalu keras dengan denda RM100,000, di potong tiga mata, ganti rugi kepada JDT dan bermain berdepan JDT tanpa penonton di Petaling Jaya, sekiranya kita mengambil kira sebab-sebab mereka menarik diri daripada perlawanan tersebut.
"Satu lagi persoalan, apakah hukuman dikenakan berdasarkan garis panduan terdapat dalam pertandingan Liga Bolasepak Malaysia atau semata-mata sebagai peringatan kepada semua pasukan lain?" katanya.
Jelas Pekan lagi, hukuman dikenakan pentadbir liga teratas negara itu terhadap The Red Giants juga boleh diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga kepada pasukan berkenaan.
"Kita juga perlu ingat bahawa Selangor FC bukan dengan sengaja menarik diri dari perlawanan itu sebaliknya mereka telah mengambil kira situasi yang berlaku pada masa kejadian.
"Jika sekiranya diteruskan juga perlawanan dan berlaku sebarang insiden selepas itu, pastinya penyokong akan menyalahkan pasukan.
"Dan paling penting di sini ialah penarikan diri Selangor FC mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga melihat aspek keselamatan pasukan serta penyokong-penyokong sebagai keutamaan," katanya.
Sementara itu, Selangor mengambil maklum hukuman tersebut dan sedang meneliti serta mengkaji semua saluran bersesuaian bagi mengambil tindakan seterusnya selepas didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata bagi saingan liga
The Red Giants dalam satu kenyataan berkata: "Untuk makluman pihak kelab memohon penangguhan perlawanan tersebut selepas kes jenayah serangan asid terhadap Mohamad Faisal Abdul Halim pada 5 Mei lalu dan beberapa lagi insiden lain yang melibatkan pemain bola sepak tanah air, namun permohonan tersebut telah ditolak," kata kelab itu.
--Sinar Harian
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Liga Bolasepak Malaysia #MFL #Selangor FC
;